ads1

Ahad, 31 Disember 2017

Bagaimana Angkasawan Membuang Air Ketika Memakai Sut Angkasa?

lampin angkasawan
Kami diajukan soalan di atas selepas salah satu artikel kami cuba menjawab bagaimana angkasawan menggaru ketika memakai sut angkasa.
Seronok sebenarnya memikirkan bagaimana angkasawan memerlukan kaedah yang berlainan berbanding apa yang hari-hari kita lakukan di bumi. Kita sudah tahu, andainya ada cecair yang dilepaskan dalam keadaan graviti sifat, cecair itu akan terapung di udara jika dibiarkan.
Ini bermakna, untuk melakukan proses perkumuhan di kawasan bergraviti sifar pun memerlukan penyelidikan yang tinggi dan sulit. Setakat ini, semua solusi kepada masalah ini hanyalah penyelesaian sementara dan teknologi yang digunakan pula, amatlah primitif sekali.

PAMPERS ANGKASA?

penerangan tentang mag
Bagi menyelesaikan masalah terkucil di kalangan angkasawan yang pastinya akan berlaku, sejenis pakaian yang digelarkan MAG atau maximum absorbency garment dicipta oleh NASA. MAG digunakan setiap kali proses berlepas, mendarat dan sebarang bentuk aktiviti yang memerlukan angkasawan mengenakan sut angkasa.
Bagaimanapun, penggunaan MAG yang menyerupai lampin orang dewasa yang besar ini jarang digunakan. Ini kerana kebiasaannya, angkasawan akan melakukan dulu proses perkumuhan sebelum mengenakan sut angkasa. Angkasawan juga adalah individu terlatih yang mampu mengawal kadar pengambilan cecair ke dalam badan mereka, melalui bekalan air yang disimpan dalam sut.
Walaupun begitu, jika keadaan memaksa, angkasawan tidak perlu risau kerana MAG memang diwajibkan untuk dipakai setiap kali sebelum sut dipakai. MAG dipakai seperti seluar pendek apabila pemakaiannya diperlukan dan mampu menyerap sebanyak 2 liter cecair. Bahan penyerap MAG diperbuat daripada sodium polyacrylate, mampu menyerap sehingga 500 ke 1000 kali saiz partikelnya dan jumlah maksima yang mampu ditampung, adalah sebanyak 2 liter.
Sebagai rujukan, kebiasaannya kita akan mengeluarkan 50ml hingga 400ml cecair setiap kali kita kencing. Walaupun nama MAG itu kelihatan canggih, teknologi yang sama sebenarnya sama saja dengan lampin pakai buang bayi - cuma namanya sedap sikitlah.

SEJARAH MAG

nasa mag
Sebelum pengenalan MAG, NASA menggunakan satu solusi yang mempunyai idea sama cuma pendekatannya berbeza yang dinamakan DACT atau Disposable Absorption Containment Trunk. Dalam beberapa misi, angkasawan akan mengenakan DACT yang menyerupai satu kantung yang dilekatkan, mempunyai salur atau hos yang akan mengalirkan dan mengumpul sisa perkumuhan.
Oleh kerana pada awalnya semua angkasawan adalah orang lelaki, alat tersebut dicipta khas untuk lelaki khasnya mengikut kesesuaian dengan bentuk zakar lelaki. Ini menjadi satu masalah apabila angkasawan wanita mula menyertai misi-misi ke angkasa.
Bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh DACT, NASA mengumumkan pada tahun 1988 yang semua unit DACT akan ditamatkan operasinya dan digantikan dengan MAG yang lebih mudah dikenakan.
Angkasawan tak kiralah lelaki atau wanita sekalipun menyambut baik pertukaran ini, kerana MAG dibuktikan lebih selesa serta tidak mudah bocor berbanding DACT.

KISAH ALAN SHEPARD JR.

alan shepard jr
Tidak ada sesiapa mahu menjadi pemegang rekod ini, namun rekod ini tetap akan jatuh pada seseorang. Angkasawan yang tidak bernasib baik menjadi manusia pertama kencing dalam sut angkasa adalah seorang angkasawan bernama Alan Shepard. Kisah Alan Shepard Jr. ini agak melucukan kerana ia berlaku pada tahun 1961, semasa pelancaran misi Freedom 7.
Semasa menantikan pelancaran roketnya, Alan menghadapi masalah perlu kencing yang amat sangat ketika duduk di dalam kapal angkasa beliau. Menghadapi masalah teknikal ketika menunggu pelancaran sehingga terpaksa menunggu berjam-jam, Alan terpaksa mengumumkan kepada pusat kawalan berkenaan masalah beliau.
Berdepan dilema sama ada mahu menangguhkan pelancaran dan membenarkan Alan membuka sut, pusat kawalan risau andainya air kencing yang dilepaskan Alan akan menyebabkan kerosakan pada alat pengesan kesihatan yang dipasang pada badan Alan, sehingga berlakunya litar pintas.
Tidak ada jalan lain, Alan dibenarkan untuk melepaskan hajat dalam sut beliau, dengan kebenaran khas diberikan untuk mematikan pengesan kesihatan - ketika itu belum wujud alat serupa DACT atau MAG. Alan menjadi individu Amerika pertama ke angkasa dan menjadi manusia pertama kencing dalam sut, semasa pelancaran roket. Satu rekod yang masam-masam manis.
Insiden kecil itu menyebabkan kemaluan besar pada NASA yang dikritik terlepas pandang perkara itu tanpa apa-apa persediaan. Ini memaksa NASA mencipta kaedah bagi mengelakkan perkara sama berlaku dengan penambahbaikan kepada bermacam jenis alat dilakukan, sebelum alat berbentuk lampin jugalah yang didapati paling sesuai digunakan sehingga kini.

SISTEM BADAN HILANG KAWALAN UNTUK BERFUNGSI

angkasawan mandi
Dalam buku 'Packing for Mars,' penulis saintifik Mary Roach memberitahu kesan graviti sifar pada badan sebenarnya memberi kesan pada sistem perkumuhan kita juga. Oleh kerana wujudnya graviti di bumi, cecair dalam badan kita akan ditarik ke bawah dan kumpulan cecair ini akan dapat dikesan oleh pundi kencing, untuk dikeluarkan.
Bagaimanapun, oleh kerana situasi di angkasa berbeza, badan kita hilang daya untuk mengesan kapasiti cecair yang diperlu dikeluarkan secara automatik, jadi ada kemungkinan angkasawan menghadapi kesukaran untuk kencing kerana saluran urethra tidak diaktifkan untuk kencing, walaupun cecair dalam badan sudah sepatutnya dikeluarkan.

Bagi mengelakkan masalah ini melanda angkasawan, setiap angkasawan dilatih untuk kencing setiap 2 jam sekali bagi memastikan tidak berlaku masalah kesihatan pada mereka.

Sumber:iluminasi

Bayi sumbing ini tersenyum buat kali pertama, sambil diperhatikan ibu yang berasa bimbang dengan masa depannya


Ibu bapa mana yang tidak akan terkejut dan sedih apabila mendapati bayi mereka dilahirkan dengan wajah yang tidak sempurna seperti bayi lain. Dan ini yang telah berlaku kepada seorang ibu muda dari Australia yang telah merakamkan perjalanan kehidupan bayi lelakinya yang dilahirkan dengan mulut yang sumbing sejak 18 April 2017.
Kredit : Charlie’s Journey/Facebook
Charlotte Halliday yang berusia 23 tahun dari Queensland, Australia telah melahirkan bayi lelaki dengan keadaan mulut yang sumbing dan ia sangat serius. Sejak dilahirkan, ibu muda ini telah berkongsi pengalaman membesarkan bayinya. Pada bulan September 2017, bayi ini telah mampu tersenyum dengan sempurna buat kali pertama.
Semasa dilahirkan, keadaan menjadi senyap. Menurut Charlotte, “Semasa Charlie dilahirkan, dia telah diletakkan dengan segera ke atas dakapan saya dan keadaan di dalam bilik itu menjadi senyap. Saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk menerimanya dan pasangan saya merasa patah hati apabila melihat wajah anak lelakinya.”
Bayi ini yang dinamakan Charlie tidak boleh makan dan minum dengan sempurna akibat mulutnya yang sumbing. Namun begitu, keadaan mulut bayi yang sumbing boleh dipulihkan semasa mereka masih bayi dengan siri pembedahan yang akan membetulkan semula ruang atas mulut dan lelangit yang terbuka. Keadaan bayi yang sumbing boleh menjadi normal.
Charlotte memberitahu Australian Broadcasting Corporation (ABC), “Selepas menjalani pembedahan beberapa minggu kemudian, Charlie tidak boleh bersin.”
Kredit : Charlie’s Journey/Facebook
Sebelum pembedahan, keadaan lebih membimbangkan Charlotte. Charlotte dan pasangannya telah bertemu dengan pakar bedah dan mereka telah menerangkan pembedahan hanya boleh dilakukan setelah tiub saluran makanan dikeluarkan.
Charlie menghadapi kesukaran menyesuaikan diri kerana dia tidak boleh makan dengan betul dengan keadaan mulutnya begitu dan tiub pula telah dikeluarkan. Akhirnya, setelah dia dapat menyesuaikan diri dan keadaan menjadi stabil, pembedahan membetulkan mulutnya yang sumbing telah berjaya dijalankan.
Keadaan Charlie kini beransur pulih dan kehidupannya akan menjadi normal seperti bayi lain.
Ibunya, Charlotte berkata, Charlie amat berbangga dengan perjalanan hidupnya yang baru sahaja bermula itu.
Menurut Charlotte, “Saya akan mengajarnya kelak, yang semua orang dilahirkan dengan keadaan yang berbeza, tidak ada sesiapa pun mempunyai sifat yang sama. Saya akan mengajarnya untuk berasa bangga dengan diri sendiri. Satu hari, dia boleh menunjukkan parut di mulutnya kepada rakan-rakan dengan bangga.”
Kredit : Charlie’s Journey/Facebook
Dalam ruangan Charlie’s Journey di Facebook, Charlotte Halliday telah menulis perkembangan Charlie semenjak pembedahan tersebut.
Pada bulan Ogos, 2017, Charlotte dengan gembira dan berbangga menulis, “Charlie baru sahaja belajar bercakap dalam beberapa hari ini dan tiada apa yang akan dapat menghalangnya dari melakukan apa sahaja.”
Pada bulan September 2017, Charlotte telah menulis, “Saya membuka ruangan ini bagi memberi kesedaran dan menyokong ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang dilahirkan sumbing. Saya ingin berkongsi pengalaman ini dan tidak pernah terfikir untuk mendapat nama bagi pihak Charlie. Saya melakukan ini demi kebaikan dan memberi kesedaran kepada ibu bapa yang mempunyai bayi berkeadaan sumbing, mereka boleh dipulihkan serta mempunyai harapan yang tinggi, dan dunia tidak akan terhenti di situ.”
Dengan teknologi perubatan terkini, kebanyakan bayi yang dilahirkan dengan keadaan mulut yang sumbing akan pulih dan dapat hidup dalam keadaan yang normal setelah mereka dewasa apabila pembedahan segera semasa mereka masih bayi berjaya dilakukan.
Sumber:Era baru