ads1
Jumaat, 30 Jun 2017
Selamatkan penalti bukan kebetulan
WIRA Chile, Claudio Bravo menafikan kejayaannya menyelamatkan tiga tendangan penalti Portugal dalam saingan separuh akhir Piala Konfederasi semalam hanya kebetulan.
Sebaliknya kata penjaga gol Manchester City itu, ia hasil latihan dan tindakan tepat membaca tendangan yang akan ditujukan oleh pemain lawan.
"Kebetulan? Saya tidak berasakan apa yang saya lakukan dalam perlawanan ini (menyelamatkan penalti) sebagai satu kebetulan. Saya banyak berlatih dan membaca strategi pemain lawan.
"Rahsia yang sebenar-benarnya ialah anda perlu yakin dan berusaha sedaya upaya memenangi perlawanan.
"Berjaya menewaskan juara Eropah sudah tentu akan menjadi pembakar semangat kami untuk berjaya di perlawanan akhir dan menjulang Piala Konfederasi tahun ini," katanya.
Bagi Bravo, tiada yang lebih memuaskan hatinya selain daripada membawa pasukan mara ke pentas akhir dan menjulang Piala Konfederasi tahun ini.
Dalam perlawanan awal pagi semalam, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Bravo tampil cemerlang apabila menggagalkan tiga sepakan penalti berturut-turut yang diambil Ricardo Quaresma, Joao Moutinho dan Nani, sementara Arturo Vidal, Charles Aranguiz, dan Alexis Sanchez tidak mensia-siakan peluang itu dengan menyempurnakan kesemua sepakan penalti untuk Chile.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan