ads1

Ahad, 24 September 2017

80 peratus tubuh badan bayi lelaki ini diliputi dengan tanda lahir yang mengancam nyawanya

Hati ibu mana yang tidak menangis apabila melihat keadaan bayi ini. Namun, inilah hakikat yang perlu dihadapi oleh seorang ibu apabila melihat 80 peratus tubuh bayi yang baru dilahirkan dilitupi tanda lahir.
Menurut doktor, keadaan itu dikenali sebagai giant congenital melanocytic nevus yang boleh mengancam nyawa bayi tersebut.
Giant congenital melanocytic nevus adalah keadaan kulit yang ditandai dengan tanda hitam yang luar biasa. Ia wujud sama ada sejak lahir atau dilihat ketara selepas beberapa minggu atau bulan bayi dilahirkan.
Biasanya tanda itu kecil pada bayi tetapi semakin bayi membesar, semakin membesar juga tanda tersebut dan akhirnya bersaiz sekurang-kurangnya 40 cm.
Tanda hitam itu boleh muncul di mana-mana bahagian badan, tetapi ia lebih sering dijumpai pada batang tubuh badan atau anggota badan yang lain. Warnanya berubah menjadi lebih gelap atau lebih terang dari masa ke masa. Permukaan tanda tersebut boleh didapati dalam keadaan yang berbeza-beza. Ada yang rata, kasar, tebal atau bergelombang dan ianya juga boleh berubah dari masa ke masa.
Kulit badan yang terdapat tanda hitam ini sering kering dan terdedah kepada kerengsaan (irritation) dan gatal-gatal (dermatitis). Pertumbuhan rambut yang berlebihan (hypertrichosis) juga boleh berlaku pada tanda itu.
Selalunya kulit bertanda hitam mempunyai tisu lemak yang paling kurang dan berkemungkinan kelihatan lebih nipis jika dibandingkan dengan bahagian tubuh badan yang lain.
Individu yang mengalami masalah ini mungkin mudah berasa cemas atau mengalami tekanan emosi akibat kesan tanda hitam yang tumbuh itu. Bagi kanak-kanak yang mempunyai Giant congenital melanocytic nevus mereka lebih terdedah kepada risiko gangguan emosi atau tingkah laku.
Dylan yang dilahirkan dalam keadaan yang serius pada lima tahun lalu bukan sahaja mempunyai tanda lahir yang banyak tetapi 20 peratus bahagian tubuhnya yang lain dilitupi dengan bintik-bintik hitam.
Yang paling ketara ialah tahi lalat berdarah merah yang menutupi bahagian belakang badannya berdekatan dengan punggung. Dylan telah menjalani beberapa prosedur pembedahan pada usia yang masih muda untuk membuang tahi lalat tersebut kerana ia boleh mendatangkan risiko yang serius iaitu kanser kulit.
Apabila Dylan cukup kuat untuk menahan kesakitan, dia mula menjalani beberapa prosedur pembedahan.
Doktor terpaksa mengambil kulit daripada beberapa bahagian tubuh badannya yang lain untuk menampal semula bahagian belakang badannya selepas tahi lalat gergasi tersebut dibuang.
Untuk menggalakkan pertumbuhan semula kulit, Dylan perlu menjalani proses pengimplanan (memasukkan atau menanam bahan, tisu, alat palsu ke dalam tubuh melalui pembedahan (serupa dengan implan payudara).
Dia terpaksa mengekalkan implan tersebut selama tiga bulan. Tidak berakhir di situ, Dylan kemudiannya perlu menjalani lebih daripada 18 pembedahan lain, seperti yang dimuat naik di Facebooknya yang bertujuan untuk menghapuskan separuh daripada tahi lalat yang terdapat di bahagian atas belakang badannya, di leher dan di bahu.
“Kami berharap tahi lalat itu tidak akan tumbuh semula dan menjadi kanser, namun kami sedar, Dylan tetap berisiko untuk mendapat kanser pada bila-bila masa sahaja,” kata ibunya, Kara ketika pada Telegraph. Tambah Kara lagi, “Dylan perlu menjalani pembedahan setiap tiga hingga enam bulan, bergantung kepada bahagian mana badannya yang perlu dibedah.”
Menurut Kara, kebiasaannya orang yang melihat keadaan Dylan agak bersimpati dan hanya ingin tahu. Namun dia juga pernah berhadapan dengan situasi yang mengecewakan di mana pada ketika itu, seorang pengurus pasaraya meminta mereka sekeluarga beredar dari pasaraya tersebut kerana terdapat pelanggan yang mengadu terganggu dengan keadaan Dylan yang agak menakutkan itu.
Walau bagaimanapun, sebagai ibu, dia tidak langsung menyekat kebebasan anaknya itu malah menyokong minat Dylan. Dia juga sering membawa Dylan keluar bersiar-siar kerana tidak mahu anaknya itu rasa tersisih dan malu dengan keadaannya itu.
Dylan adalah seorang wira dan sentiasa memberikan senyuman. Ikuti kisahnya di Facebook dan lihatlah betapa beraninya dia mengharungi kehidupan dengan keadaan yang begitu menyakitkan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga keluarga Dylan terus tabah menghadapi ujian ini dan buat si comel Dylan, semoga cepat sembuh.
Kredit foto: Facebook | Dylan’s Amazing Journey
Sumber:Era Baru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan