Rekod dunia yang telah dicatatkan ini masih belum dipecahkan sehingga kini. Daya ketahanan lelaki ini untuk selamat amat mengagumkan. Dan kisah benar ini berlaku pada era Perang Dunia Kedua.
Semasa Perang Dunia Kedua sedang memuncak, seorang warga China bernama Poon Lim dan 52 individu yang lain telah berada di atas sebuah kapal kepunyaan syarikat British yang dalam perjalanan dari Cape Town, Afrika Selatan ke Surinam.
Sebuah kapal selam Jerman telah menjejaki kapal ini yang berada kira-kira 750 batu dari timur Amazon.
Dalam masa dua minit sahaja, dua buah torpedo telah dilancarkan lalu menenggelamkan kapal ini.
Dalam keadaan yang kelam kabut dan mengerikan, akhirnya hanya Poon Lim sahaja yang telah terselamat. Sehingga kini, Poon Lim memegang rekod individu terdampar di lautan dan terselamat dalam jangka masa paling lama di dunia.
Selepas kapal yang dinaiki ditenggelamkan oleh pihak Jerman, Poon Lim menghabiskan masa selama 133 hari berada di permukaan lautan
Kredit : Steemit
Pada ketika itu, Poon Lim berada di atas kapal bernama SS Ben Lomond. Walaupun kapal ini dilengkapi senjata, kepantasan dan kelajuan bukan kekuatan bagi kapal ini.
Bapa Poon Lim telah menghantar beliau untuk menyertai abangnya yang bekerja sebagai pekerja kabin di kapal pengangkut penumpang British ini.
Ibu dan bapa Poon Lim mengambil keputusan untuk menghantarnya ke luar negara bagi mengelak Poon dan abangnya diarahkan untuk menyertai tentera menentang kemaraan tentera Jepun di China.
Semasa kapal yang dinaiki Poon Lim mula tenggelam, anak muda ini dengan segera telah mencapai jaket keselamatan dan terjun ke dalam laut. Jika Poon Lim tidak berbuat begitu, kemungkinan dirinya telah tercedera dan terbakar dalam letupan kapal yang dahsyat itu.
Nasib Poon agak baik. Beliau menemui sebuah rakit buatan kayu selebar lapan kaki sedang terapung-apung dan telah menaikinya.
Bersama rakit dinaiki Poon ini juga terdapat beberapa tin coklat dan biskut, ketulan gula, sebuah lampu suluh, dua kotak rokok, beberapa suar api, tali dan 40 liter air di dalam satu bekas.
Oleh kerana terdapat bekalan makanan dan minuman, Poon telah dapat bertahan hidup dengan terdampar dan terapung di tengah lautan.
Setelah bekalan makanan dan minuman tersebut telah habis, Poon Lim telah beralih teknik untuk bertahan dengan memancing ikan dan menyimpan air hujan menggunakan kain kanvas yang terdapat di dalam jaket keselamatannya.
Oleh kerana Poon Lim tidak berapa pandai berenang, beliau membuat keputusan untuk sentiasa mengikat tali rakit di pinggangnya.
Poon Lim menggunakan wayar yang terdapat di dalam lampu suluh sebagai kail untuk menangkap ikan
Kredit: Wikipedia
Apabila terdapat peluang melihat kehadiran jerung yang datang mengelilingi rakitnya, Poon mengambil kesempatan ini untuk menangkap salah seekor daripadanya dengan menggunakan umpan sisa burung yang telah dibunuhnya.
Dengan mengetahui kekuatan jerung yang sangat hebat, Poon Lim akan memastikan tali dan kail yang digunakannya lebih tebal daripada biasa.
Semasa ketiadaan hujan selama beberapa hari, Poon tidak mendapat bekalan minuman. Dan bagi mengelak kekurangan air di dalam badan, Poon telah meminum darah jerung yang telah dibunuhnya.
Poon akan memotong insang jerung tersebut dan menjemurnya di atas cahaya matahari yang terik di mana kemudian akan mengeluarkan cecair untuk diminum. Teknik ini pernah dipelajarinya dalam penyediaan masakan Hainan.
Setelah terapung dalam jangka masa yang lama di tengah lautan, Poon Lim mengalami masalah mabuk laut yang teruk, selaran matahari dan kesan serta tekanan psikologi akibat melihat beberapa kapal dan bot yang melaluinya tetapi tidak mahu memberikan bantuan.
Pertama, satu kapal pengangkut telah melaluinya tetapi tidak menghiraukan rayuan meminta pertolongannya. Perkara yang sama berlaku apabila satu pesawat peninjau kepunyaan tentera laut Amerika Syarikat yang melaluinya tetapi tidak menawarkan untuk memberi bantuan.
Poon Lim percaya mereka enggan menawarkan bantuan kepadanya kerana berfikir beliau berketurunan China atau Jepun.
Ketabahan Poon Lim dapat bertahan dengan selamat ketika berada di lautan telah menjadi inspirasi buat semua, termasuk individu terkenal di kalangan orang awam
Kredit: Stillunfold
Poon Lim mengira hari beliau berada di permukaan lautan melalui ikatan tali kecil yang dibuatnya setiap hari.
Selepas 133 hari terdampar di permukaan lautan, Poon dan rakitnya telah ditemui oleh nelayan dari Brazil.
Selama berada di lautan, Poon Lim telah kehilangan berat badan sebanyak 9 kilogram dan beliau telah berada di hospital untuk rawatan pemulihan selama empat minggu.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang dapat memecahkan rekod Poon Lim sebagai individu yang telah berjaya bertahan dengan selamat berada di permukaan lautan dalam jangka masa paling lama di dunia iaitu selama 133 hari.
Sebelum kematiannya pada tahun 1991, Poon Lim berkata, “Saya berharap tiada siapa yang akan memecahkan rekod yang telah saya cipta.”
Raja Britain pada ketika itu, Raja George VI telah menganugerahkan Pingat Empayar British (BEM) kepada Poon Lim. Tentera Laut British telah bekerjasama dengan Poon Lim dengan mempelajari kepakarannya sebagai manual dalam teknik ketahanan berada di lautan.
Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Poon Lim membuat keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat. Walaupun pada ketika itu kuota untuk penghijrah dari China telah melepasi had, kerajaan Amerika Syarikat telah memberi pengecualian kepada Poon Lim disebabkan oleh namanya yang terkenal sebagai pencipta rekod dunia dan atas bantuan Senator Warren Magnuson.
Kredit:Era Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan