Adakah anda dalam kalangan mereka yang bertuah mempunyai kembar seiras? Menurut statistik, kebarangkalian untuk lahirnya sepasang kembar seiras adalah sebanyak 1 dalam 285 kelahiran, iaitu 0.35%. Angka ini adalah universal dan rawak.
Dan dalam kebarangkalian yang sangat jarang untuk mendapat kembar itu, berapa pula kebarangkalian kembar-kembar ini terpisah antara satu sama lain ketika lahir? Walaupun ia jarang berlaku, namun realitinya, ia tetap berlaku.
Kami ingin berkongsi 4 kes kembar seiras yang terpisah sejak lahir, dan kemudiannya bertemu semula selepas tempoh yang lama.
1. Audrey Doering dan Gracie Rainsberry (Amerika Syarikat)
Sepasang suami isteri dari Wisconsin, Amerika Syarikat, Thomas dan Jennifer Doering sudah mempunyai 3 orang anak lelaki. Namun, keinginan mempunyai anak perempuan bagi melengkapkan keluarga mereka membuatkan pasangan ini berhasrat untuk mengambil anak angkat.
Satu lagi pasangan juga dari Amerika Syarikat iaitu Washington, Scott dan Nicole Rainsberry ingin menambah ahli keluarga mereka yang mana juga sudah mempunyai 3 cahaya mata.
Kedua-dua pasangan ini yang tinggal di dua kawasan berlainan terpisah sejauh 3,000 kilometer, mencari anak angkat sehingga ke tahap antarabangsa. Pencarian mereka membawa kedua-dua pasangan ini ke China.
Pada Julai 2007 ketika berusia 14 bulan, Gracie telah dipertemukan dengan pasangan Rainsberry.. Manakala pasangan Doering pula bertemu dengan bayi yang diberi nama Audrey, pada Ogos 2007.
Walaubagaimanapun, kedua-dua pasangan ini langsung tidak tahu bahawa bayi yang dibawa pulang ke Amerika Syarikat, mempunyai pasangan kembar.
Sehinggalah 9 tahun kemudian, pada Disember 2016, Jennifer Doering berasa ingin tahu mengenai masa lalu anaknya, Audrey. Dengan bantuan penyelidik China, beliau telah menjumpai sekeping gambar di mana Audrey didukung oleh seorang wanita China bersama seorang lagi bayi.
Apa yang mengejutkan Jennifer adalah, kedua-dua bayi itu mempunyai wajah serupa.
Beliau kemudiannya melakukan siasatan lanjutan melalui Facebook, dan akhirnya menjumpai Nicole Rainsberry, dan anaknya, Gracie. Dan selepas 10 tahun terpisah, kini kedua-dua kembar seiras ini dipertemukan face to face buat kali pertama di dalam rancangan Good Morning America.
2. George Skrzynecky dan Lucian Poznanski (Poland)
Jika pertemuan Audrey dan Gracie selepas terpisah 10 tahun membuatkan air mata anda berlinangan, kisah ini lebih meyayat hati. Pasangan kembar George Skrzynecky dan Lucian Poznanski terpisah hampir 70 tahun.
Ibu mereka, Jankowska Elzbieta telah dihantar dari Poland ke Jerman untuk bekerja di sebuah kem. Ketika Perang Dunia Ke-2 berlaku, beliau ditahan di kem tersebut.
Selepas Jankowska dibebaskan, beliau telah melahirkan sepasang kembar pada 1 Jun 1946 di Kassel, Jerman.
Atas masalah kesihatan yang sangat teruk, pasukan Palang Merah Poland membawa pasangan kembar ini pulang. Mereka kemudiannya diambil sebagai anak angkat oleh dua keluarga berbeza.
George dan Lucian langsung tidak tahu mengenai kembar masing-masing kerana keluarga angkat tidak pernah menceritakan kisah tersebut.
Ketika berusia 17 tahun, George terjumpa dokumen yang menunjukkan bahawa beliau merupakan anak angkat dan tahu beliau mempunyai kembar. Berita itu membuatkan hubungan keluarga mereka retak. George kemudiannya membawa diri ke Amerika Syarikat.
Lucian pula diberitahu ibunya ketika mahu menyertai tentera, namun berita mengenai kembar tidak diketahui. Lucian kekal bersama keluarga angkatnya dan meneruskan hidupnya di Poland.
Pada tahun 1960-an, George meminta bantuan Palang Merah untuk mencari kembarnya namun gagal. Namun, George tidak pernah berputus asa dan tahu bahawa satu hari nanti, pasti beliau dan kembarnya akan bertemu semula.
Pada tahun 2014, ketika berusia 68 tahun, Lucian mendapat maklumat mengenai ibu kandungnya dan mendapati bahawa beliau mempunyai kembar. Dan pada tahun 2015, kedua-dua kembar ini berjumpa buat kali pertama selepas 69 tahun.
3. Anais Bordier dan Sam Futerman (Amerika Syarikat dan Perancis)
Bayangkan ada sedang menonton video di Youtube, dan tiba-tiba anda terlihat seseorang yang menyerupai anda dalam video tersebut. Pasti anda menjangkakan bahawa ia hanyalah seseorang yang mirip anda.
Namun, jika anda tahu bahawa anda mempunyai kembar seiras yang terpisaah sejak lahir, sudah tentu anda rasakan bahawa anda sudah menemui separuh daripada diri anda.
Inilah yang berlaku kepada Anais Bordier. Anais yang berasal dari Perancis merupakan seorang penuntut bidang fesyen di United Kingdom.
Rakan Anais terlihat seorang gadis dalam sebuah video yang berwajah serupa dengan Anais, dan memberitahu beliau. Kemudian, video kedua dimuatnaik oleh individu tersebut, kali ini terpapar nama beliau, iaitu Sam Futerman.
Anais kemudiannya melakukan pencarian di Google dan membawa kepada penemuan gadis misteri tersebut. Sam Futerman merupakan seorang pelakon yang menetap di Amerika Syarikat.
Bukan sahaja wajah mereka serupa, Anais juga mendapati bahawa gadis bernama Sam itu juga mempunyai tarikh lahir dan tempat kelahiran yang sama dengannya iaitu Seoul, Korea. Dan sama seperti Anais, Sam juga merupakan seorang anak angkat.
Anais kemudiannya memberitahu ibu angkatnya, yang meyakinkan beliau yakin bahawa Sam adalah kembarnya. Sam dihubungi Anais melalui Facebook dan akhirnya, pasangan kembar ini dipertemukan semula selepas berpuluh tahun terpisah.
4. Siam Peillon dan Fabienne Gorge (Perancis)
Siam Peillon dan Fabienne Gorge adalah sepasang kembar yang lahir pada 4 Mac 1992 di Hanoi, Vietnam. Kedua-duanya terpisah ketika masih bayi kerana diambil menjadi anak angkat oleh dua buah keluarga dari Perancis.
Pasangan kembar ini dibesarkan di Perancis namun tidak mengetahui kewujudan masing-masing.
Siam adalah seorang pemilik restoran manakala Fabienne pula merupakan seorang jururawat. Namun 3 tahun lepas, mereka mendapat tahu bahawa mereka adalah pasangan kembar.
Ia berlaku apabila rakan Siam yang tinggal di Annecy (tenggara Perancis) terlihat seorang gadis di Facebook yang menyerupai wajah Siam. Beliau kemudian memberitahu perkara tersebut dalam radio Eropah 1, membuatkan Siam cuba untuk menghubungi wanita bernama Fabienne tersebut.
Siam kemudiannya menambah kenalan (add) Fabienne di Facebook namun tidak diendahkan Fabienne.
“Saya melihat perkara itu melalui telefon pintar dan tak dapat melihat dengan jelas, tapi kemudian saya melihat gambar profil tersebut menyerupai wajah saya,” jelas Fabienne.
“Dan saya berkata pada diri saya, alamak, ada orang cuba nak godam akaun Facebook saya,” tambahnya lagi.
Namun kesungguhan Siam membuahkan hasil apabila Fabienne akhirnya memberikan respon. Mereka mula berborak-borak, namun tidak bertanya antara satu sama lain sama ada mereka adalah kembar.
Selepas meneliti tarikh lahir, jenis darah dan gambar, akhirnya Siam terlebih dahulu berkata, “Bukan saya nak takutkan awak, tapi saya rasa kita adalah kembar,”.
Rupa-rupanya doktor yang mengendalikan mereka ketika lahir menyembunyikan perkara ini daripada keluarga-keluarga angkat mereka. Ia kerana untuk mengurangkan kesukaran proses mencari keluarga angkat.
Selepas beberapa ketika berborak melalui Facebook, akhirnya pada Januari 2014, Fabienne yang tinggal di barat daya Perancis terbang ke Lyon untuk menemui Siam untuk kali pertama, selepas lahir.
Sumber : ceritapress.today
Tiada ulasan:
Catat Ulasan