Bagi mereka yang gemar ke gym, mesti anda pernah cuba berjalan ataupun berlari di atas treadmill. Treadmill yang terdapat di gym sekarang memang betul-betul berbeza daripada treadmill yang pertama kali dicipta pada dua ratus tahun yang lalu.
Pada tahun 1818, seorang jurutera berbangsa British yang bernama Sir William Cubitt telah mereka sebuah alat yang bergelar ‘thread-wheel’ untuk digunakan sebagai alat untuk menghukum dan memulih banduan yang degil pada waktu tersebut.
Banduan akan dikerah untuk memanjat 24 ‘anak tangga’ seperti memanjat tangga. ‘Anak-anak tangga’ ini akan menggerakkan gear yang kemudiannya akan mengepam air atau menghancur dan melumatkan biji gandum. ( atau sekiranya warden yang bertugas pada hari tersebut kejam, para bantuan dikerah untuk memanjat semata-mata tanpa menghasilkan gandum atau air) Daripada konsep inilah treadmill mendapat namanya: tread ialah permukaan atas bagi anak tangga manakala mill merupakan kata kerja bagi perbuatan melumatkan gandum di kilang.
Selama sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari, banduan akan dikerah untuk memanjat ‘anak-anak tangga’ ini. Sekiranya anak-anak tangga tersebut merupakan tangga yang menaik, para banduan pada ketika itu dipaksa untuk memanjat setinggi 2200 meter sehari.
Sumber gambar: Google
Hukuman ini sangat kejam kerana banduan pada ketika itu tidak diberi makan dengan sempurna ( tiada zat dan dalam kuantiti yang tidak setimpal dengan hukuman mereka). Meskipun terdapat ramai banduan yang cedera dan sakit disebabkan hukuman ini, pihak berkuasa dan penjara masih beli dan meneruskan hukuman ini di Britain dan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1824, pengawal penjara yang bernama James Hardie telah memuji mesin ini kerana telah berjaya menginsafkan penjenayah dan banduan di New York, Amerika Syarikat. Katanya lagi, mesin ini sangat berkesan, tidak begitu kejam namun cukup untuk menimbulkan rasa gerun dan takut dalam hati para banduan.
Hari berganti bulan dan bulan berganti tahun, pihak warden penjara di Amerika akhirnya berhenti menggunakan treadmill dan menggantikan hukuman memanjat anak tangga ini kepada hukuman yang berbentuk kerja buruh, seperti memetik kapas, memecahkan batu dan sebagainya. Meskipun begitu, penjara di England masih kekal menggunakan hukuman ini sehinggalah pada akhir kurun ke-19 apabila akhirnya pihak berkuasa di England menganggap hukuman ini terlalu tidak berperikemanusiaan.
Mesin tersebut kemudiannya dibiar begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1960-an, Dr Kennetch Cooper, ‘bapa konsep senaman aerobik’ akhirnya membuat pertunjukkan tentang kebaikan senaman aerobik. Sejak daripada hari tersebut, treadmill kembali popular dalam masyarakat dunia, namun kali ini bukan sebagai alat hukuman, tetapi sebagai alat senaman.
Jika dahulu para banduan dikerah untuk menggunakan treadmill, namun hari ini, kita dengan sendiri gemar menggunakannya disebabkan manfaatnya kepada kesihatan kita.
Sumber:
Kredit:Iluminasi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan