ads1

Selasa, 27 Februari 2018

Biara Thamkrabok: pusat rawatan pemulihan dadah yang hardcore


Apabila kabus pagi beransur hilang dari Biara Thamkrabok, tebing-tebing granit tinggi yang melitupi patung Buddha gergasi akan mula kelihatan. Menjelang tengah hari, anda boleh menemui sekumpulan warga asing yang duduk di atas serambi kayu yang menghadap kolam sambil berbual dengan para sami mengenai takdir, kepercayaan dan karma.
thamkrabok pusat rawatan pemulihan dadah percuma thailand
Anda mungkin menyangka biara ini merupakan suatu tempat untuk mencari ketenangan rohani. Namun, pada hakikatnya, tiada seorang pun pelawat yang berkunjung ke biara ini sebagai pelancong. Hampir kesemua orang yang datang ke Thamkrabok sedang bergelut dengan ketagihan dan mencari rawatan di klinik detoks di situ.
Terletak sejauh lebih kurang dua jam perjalanan arah utara dari Bangkok, anda mungkin tidak akan menjumpai tempat yang tersembunyi ini jika anda tidak tahu kewujudannya. Namun, bagi warga Thai dan segelintir orang asing dari Barat yang ingin mengatasi masalah ketagihan, Thamkrabok bukanlah satu nama asing bagi mereka. Biara ini sudah mula ditubuhkan sejak tahun 1957 lagi dan terkenal dengan rawatan detoks cold-turkey dengan resipi rahsia minuman teh herba yang boleh menyebabkan pesakit muntah.
thamkrabok pusat rawatan pemulihan dadah percuma thailand selepas minum teh herba akan muntah
Kompleks biara yang merangkumi sebuah kantin dan asrama yang berasingan untuk lelaki dan wanita ini menerima pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada warga Thai terutamanya yang mengalami masalah ketagihan opioid, syabu dan ketagihan alkohol. Setiap rawatan diberikan secara percuma namun pesakit harus bersetuju untuk menghabiskan masa sekurang-kurangnya 14 hari di sana (7 hari untuk warga asing). Selain itu, pesakit perlu meminum teh yang dibancuh pada setiap petang selama lima hari berturut-turut dan berjanji tidak meninggalkan kawasan biara tanpa kebenaran atau tanpa sami pengiring.
Pada bulan Januari 2016, Jeremy Nemeh, 38, seorang artis dan pakar akupunktur yang berasal dari Australia telah dipaksa mendaftarkan diri sebagai pesakit di biara ini. Ketika itu, ibunya membuat rancangan supaya mereka berdua dapat berjalan-jalan melihat tokong di sekitar Thailand kerana ibunya tahu Jeremy amat sukakan kawasan suci dan meditasi. Namun, ibunya terus membawa Jeremy ke Thamkrabok sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan nyawa anak kesayangannya itu. Kini, Jeremy sendiri telah menjadi seorang sami di biara itu sambil membantu orang lain yang memerlukan rawatan.
Nemeh mula terjebak dengan heroin setelah didiagnos dengan penyakit yang memerlukannya untuk bergantung dengan ubat tahan sakit. Hari demi hari, sudah banyak ubat tahan sakit diambil namun lama-kelamaan ia tidak lagi berkesan. Mula berjinak-jinak dengan pil opioid untuk menghilangkan sakit, Nemeh kemudian belajar mengenali morfin dan akhirnya terjebak dengan heroin.
jeremy nemeh bersama pesakit dari luar negara berbincang mengenai keyakinan diri dan kawalan sacaat rawatan pemulihan dadah
Sama seperti Nemeh, terdapat dua orang lagi pesakit dari Kanada yang juga ketagihan opiat selepas mendapati ubat tahan sakit tidak lagi berfungsi untuk menghilangkan kesakitan. Salah seorangnya adalah Alexandra Sheichuk yang berusia 22 tahun dari Calgary, Alberta. Sheichuk juga dibawa ke Thamkrabok oleh ibunya yang mengetahui kewujudan biara ini melalui rakan-rakan.
Sheichuk telah bergelut dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 12 tahun lagi namun isu menjadi semakin rumit 2 tahun kemudian apabila diberi ubat Tylenol 3 yang mengandungi kodeina untuk merawat sakit belakang yang dialami akibat tarian balet. Ironinya, Sheichuk sudahpun berada dalam rawatan pemulihan ketika itu. Akhirnya, dia mula mengambil pil yang disangka OxyContin namun sebenarnya merupakan fentanil, iaitu sejenis opiat yang lebih kuat daripada heroin.
Sheichuk menyukai rawatan di Thamkrabok kerana mereka tidak menggunakan sebarang ubatan mengandungi dadah yang merupakan punca utama masalah ketagihannya. Di Thamkrabok, semua pesakit menjalani rawatan detoks fizikal sambil diajar tentang disiplin dan kebergantungan diri melalui sumpah kudus yang dipanggil sajja.
thamkrabok pusat rawatan pemulihan dadah percuma thailand bancuh teh herba
Sajja merupakan sebarang bentuk ikrar atau janji baik yang dibuat kepada diri sendiri misalnya berjanji tidak akan menunjukkan kemarahan selama dua jam setiap hari, sentiasa memuliakan ibu bapa atau menahan diri daripada penggunaan dadah. Apa yang paling penting adalah setiap kali janji ditepati, perasaan kesempurnaan dan kawalan diri akan meningkat, menjadikan seseorang berasa lebih berkuasa untuk mengawal diri sendiri.
Menurut salah seorang ketua sami di biara tersebut, Vijit Akarajitto, sajja akan membina kekuatan mental untuk memberikan para pesakit keyakinan dan kawalan diri daripada terjebak kembali dengan najis dadah atau alkohol. Namun, tiada jaminan tentang kadar kejayaan rawatan di situ kerana semuanya bergantung atas diri sendiri. Para pesakit yang telah meninggalkan biara pula tidak pernah datang buat kali kedua untuk rawatan susulan atau seumpamanya.
thamkrabok pusat rawatan pemulihan dadah percuma thailand selepas minum teh herba akan muntah cold turkey merokok pun dilarang
Pernah dikhabarkan terdapat seorang pesakit pernah membuat cubaan melarikan diri dari biara. Apabila cubaan kali keduanya tidak berjaya, para sami yang menangkapnya telah memukul dan memasang rantai bola besi di pergelangan kakinya. 
Walaupun tiada statistik tepat tentang keberkesanan rawatan di biara ini, satu kajian pernah dijalankan dengan mengikuti 65 orang pesakit di Thamkrabok. 90% daripadanya telah berjaya menamatkan program dan 60% pesakit telah pulih sepenuhnya daripada ketagihan walaupun selepas setahun.
Menurut Nemeh, dia tidak lagi mahu mendapatkan sebarang rawatan perubatan di Australia. Ini disebabkan rawatan biasa akan menyebabkan rantaian dadah yang berterusan. Selepas satu dadah tidak berkesan, mereka akan mencuba pula dadah yang lain.
thamkrabok pusat rawatan pemulihan dadah percuma thailand selepas minum teh herba akan muntah cold turkey
Di Thamkrabok, Nemeh tahu dia akan menghabiskan masa yang panjang di sana dan masa panjang itulah yang akan menyembuhkan dirinya. Ditambah pula dengan kehadiran pesakit-pesakit lain yang menghadapi situasi yang sama, maka keadaan tidaklah seteruk yang disangka.
Sheichuk juga terinspirasi daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di Thamkrabok. Merekalah yang banyak memberi tunjuk ajar dan Sheichuk hanya perlu lakukan apa yang mereka telah buat.
Pokok pangkalnya, rawatan ketagihan ini sebenarnya perlu datang dari hati dan atas kerelaan si penagih itu sendiri. Jika dipaksa minum teh herba, diberi ubat itu dan ini atau dibaca segala macam jampi, namun si penagih tidak kuat semangat, bila-bila masa sahaja mereka akan kembali terjebak dengan dadah.
Sumber:iluminasi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan