Mencipta rekod dunia bukanlah suatu perkara mudah. Mempunyai bakat semulajadi sahaja tidak cukup. Mana tidaknya, ada yang sanggup melakukan perkara pelik dan tak masuk akal sehingga mengancam nyawa.
10. Aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut
Kredit foto: Getty Images
Pelakon lagak ngeri dari India, Sailendra Nath Roy merupakan pemegang 2 rekod dunia Guinness yang berkaitan dengan rambut. Pada 2011, menerusi aksi flying-fox, dia berjalan sejauh 82.5 meter di atas wayar yang diikat dengan rambut ekor kudanya. Pada 2012, dia menarik pula sebuah enjin dan empat gerabak kereta api warisan Darjeeling Himalayan Railway sepanjang 2.5 meter dengan rambutnya.
Tidak puas dengan pencapaiannya itu, Roy mahu memperbaiki rekod sulungnya. Aksi kali ini lebih berbahaya, iaitu menyeberangi Sungai Teesta sejauh 180 meter. Pada Ogos 2013, rambut Roy tersangkut pada wayar ketika separuh perjalanan. Dia berjaya dibawa turun oleh penduduk tempatan 45 minit kemudian. Tetapi, dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Sumber: AFP, Kosmo, Telegraph, India TV News, Independent
9. Terjunan bebas
Kredit foto: Getty Images
Semasa perang dingin, Nick Piantanida dari Amerika Syarikat mahu mengatasi rekod dunia oleh angkasawan dari Rusia, untuk terjunan bebas berketinggian 24,500 meter dari permukaan laut. Pada Mei 1966, Piantanida terbang sehingga ketinggian 36,000 meter dan memulakan lompatan dari pesawatnya.
Malang tidak berbau, selepas 17,000 meter, suit khasnya mengalami gangguan tekanan udara. Menyedari bahaya yang sedang menanti, bilik kawalan Amerika melepaskan payung terjunnya lebih awal. Sebaik sampai ke tanah, kekurangan oksigen menyebabkan Piantanida mengalami kerosakan otak kekal dan koma. Dia meninggal dunia empat bulan kemudian.
Sumber: Wikipedia, The New York Times, Smithsonian Institution, Air and Space Museum
8. Manusia terpantas dalam sejarah
Sumber foto: tentik.com
Asalnya seorang jurutera lombong, Lowell Bayles meraih populariti pada lewat 1920-an sebagai juruterbang lagak ngeri. Dia selalu membuat persembahan di seluruh Amerika Syarikat. Ketika acara National Air Races pada 1931, Bayles cuba memecahkan rekod rasmi bagi "World Landplane Speed Record".
Kelajuan Bayles ketika itu menghampiri 482 km/j, sewaktu bencana melanda. Penutup bahan api pesawatnya tiba-tiba longgar, terbang melalui cermin depan dan terkena pada Bayles sehingga dia pengsan. Pesawat itu kemudiannya terhempas dan dijilat api. Mayat Bayles tercampak hampir 100 meter dari kokpit.
Sumber: Consim World, Springfield Evening Union, Springfield Daily News
7. Rekod kelajuan di air
Pada 1964, warga Inggeris, Donald Campbell satu-satunya individu yang memegang rekod kelajuan di darat dan air. Pada 1967, dia cuba untuk mengatasi rekod kelajuan di air miliknya sendiri. Ketika bot berkuasa jet itu hampir memecah rekod 480 km/j, perkara yang tidak diingini tiba-tiba berlaku.
Bot itu terangkat seketika ke udara, kemudian membanting Campbell ke dalam air dengan daya yang kuat. Dia serta-merta disahkan tidak bernyawa. Lebih menyayat hati, mayatnya hanya dijumpai 34 tahun kemudian. Orang ramai merasakan nahas itu dapat dielakkan. Ia dikatakan berpunca dari bot itu yang terlalu ringan, akibat kekurangan bahan api.
6. Ditanam hidup-hidup
Sumber foto: tentik.com
Tiada rekod rasmi bagi tempoh paling lama manusia ditanam hidup-hidup. Maka, Janaka Basnayake, seorang ahli silap mata berusia 24 tahun dari Sri Lanka, buat julung kalinya mahu menetapkan rekod itu.
Pada 2012, dia menyuruh beberapa rakan untuk menanamnya dalam sebuah lubang sedalam 3 meter. Selepas 7 jam setengah, Basnayake digali semula. Apa yang mengejutkan, dia didapati tidak lagi bernafas akibat lemas. Basnayake diberikan bantuan CPR, sebelum dibawa ke hospital. Beberapa jam kemudian, dia disahkan meninggal dunia.
Sumber: BBC, The Guardian, Live Leak
5. Terjunan udara berkumpulan terbesar
Kredit foto: Andrey Veselov / AP
Pada 2014, seramai 222 orang terjun dari ketinggian 6,000 meter untuk menyertai pembentukan terjun udara terbesar di dunia. Percubaan itu bercita-cita mengatasi rekod terdahulu, iaitu seramai 110 orang. Namun, malapetaka berlaku apabila payung terjun salah seorang dari mereka, Diana Paris gagal untuk dibuka.
Payung sokongan hanya berfungsi apabila dia sudah terlalu dekat dengan tanah. Paris yang berusia 46 tahun, merupakan penerjun udara berpengalaman, dengan pencapaian sebanyak 1,500 terjunan. Setelah diberi bantuan kecemasan, dia disahkan mati di tempat kejadian.
Sumber: Euro News, International Business Times, New York Daily News
4. Festival belon
Kredit foto asal: Bettmann / Corbis
Bagi menjayakan sebuah gimik, sejumlah 1.4 juta belon helium dilepaskan secara serentak ke langit Cleveland, Ohio. Namun, acara pada 1986 itu bertukar tragedi dan menyebabkan kerugian jutaan dolar. Secara kebetulan, ketika itu terdapat dua nelayan yang lemas setelah bot dinaiki mereka terbalik.
Paling tragik sekali, helikopter kecemasan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat terbang melalui langit yang dipenuhi dengan belon. Malah, mereka sukar mencari mangsa, kerana tidak dapat membezakan antara kepala manusia dan jutaan belon yang terapung.
Sumber: The Huffington Post, The Plain Dealer, Gizmodo
3. Penyelaman laut dalam
Kredit foto: Lia Hyun-Joo Barrett / The New York Times
Rekod dunia penyelaman paling dalam tanpa fin atau tabung oksigen ialah 124 meter. Mengejutkan bukan? Pada 2013, Nicholas Mevoli, berusia 32 tahun berhasrat untuk menewaskan rekod itu, sekaligus menjadi rakyat Amerika pertama yang melepasi kedalaman 100 meter.
Penonton menunggu dengan penuh bimbang sebaik Mevoli berada di dalam air selama 3 minit dan 38 saat. Ketika itu, dia baru sahaja mencapai kedalaman 74 meter. Sebaik muncul kembali ke permukaan, Mevoli kelihatan seperti biasa. Namun, dia pengsan tidak lama selepas diberikan CPR selama 90 minit. Malangnya, Mevoli disahkan menemui ajal.
Sumber: New York Times, The Independent, Swimmers Daily
2. Mengelilingi dunia dalam 30 hari
Kredit foto: Ihsan keluarga Suleman
Pada 2014, pasangan bapa dan anak, Babar dan Haris Suleman cuba memecahkan rekod mengelilingi dunia dalam sebuah kapal terbang enjin tunggal. Apa yang mengagumkan, misi mereka itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pendidikan kanak-kanak Pakistan.
Mengikut perancangan, mereka hanya akan mendarat 25 kali bagi mengisi bahan api. Perjalanan 43,000 km itu dijangka dapat dilakukan dalam tempoh 30 hari. Tragis sekali, bencana melanda dan juruterbang berusia 17 tahun itu hilang kawalan, lalu terjunam ke Lautan Pasifik. Nahas itu mengorbankan kedua anak-beranak itu. Mayat Babar tidak ditemui sehingga kini.
Sumber: BBC, Aviation History, Dunya News
1. Lompatan motosikal
Sumber foto: tentik.com
Pada 2005, Javad Palizbanian, pelakon lagak ngeri dari Iran, 44 tahun, cuba mencatat rekod dunia untuk melompat menggunakan motosikal ke atas bilangan bas yang paling banyak. Pada 1975, Evel Knievel memegang rekod ini dengan lompatan sejauh 40 meter ke atas sejumlah 14 bas. Pada 1999 pula, Bubba Blackwell mengatasi rekod itu, setelah berjaya melompat ke atas 15 bas.
Percubaan Palizbanian jauh lebih bercita-cita tinggi, dengan sasaran lompatan ke atas 22 bas, bersamaan dengan jarak kira-kira 63 meter. Tanpa disangka-sangka, dia terhempas di atas bas ke-13. Palizbanian disahkan maut serta-merta, disebabkan impak yang begitu kuat.
Sumber: New Zealand Herald, LA Times, Independent
Rujukan:
2. Tentik
Kredit:iluminasi.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan