ads1

Jumaat, 23 Mac 2018

50 Juta Data Pengguna Facebook Bocor, Mark Zuckerberg Tampil Minta Maaf


23 Mac - Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg, akhirnya memohon maaf semalam, terhadap kesilapan syarikatnya hingga menyebabkan kebocoran data 50 juta pengguna laman media sosial itu.

Ketika sidang media, termasuk muncul di televisyen Amerika Syarikat malam kelmarin, bilionair berusia 33 tahun itu berkata: “Ini kejadian pecah amanah yang besar dan saya memohon maaf ia terjadi.

“Tanggungjawab kami kini memastikan ia tidak berlaku lagi.”

Beliau juga juga berjanji memastikan perisian atau aplikasi tidak boleh mencuri data peribadi pengguna selepas skandal Cambridge Analytica yang terdedah enam hari lalu.

Skandal itu menyebabkan nilai saham Facebook yang dianggar bernilai AS$50 bilion dengan Zuckerberg sendiri bernilai AS$5 bilion, merosot 10 peratus.

“Kami mempunyai tanggungjawab melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda,

“Kami perlu pastikan tiada lagi Cambridge Analyticas (CA) di luar sana,” katanya.

Firma perunding data Britain, CA didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan penyelidik dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna tanpa menyedari ia turut ‘mengambil’ data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

CA yang mempunyai pejabat di London, New York, Washington, Brazil dan Malaysia, digantung daripada Facebook minggu lalu,

Zuckerberg berkata, pihaknya bukan saja bersedia mematuhi peraturan tambahan kerajaan, malah beliau sendiri akan memberi keterangan kepada Kongres jika diperlukan.

Beliau juga berkata, Facebook memberi jaminan menghentikan sebarang campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal November depan, serta pilihan raya di India dan Brazil.

Sumber: Telegraph
Kredit:siakapkeli

Tiada ulasan:

Catat Ulasan