SEORANG bomoh dari Guinea, Afrika Barat, N’na Fanta Camara ditangkap kerana ‘menghamilkan’ lebih 700 wanita.
Wanita yang terdesak untuk hamil akan mendapatkan bantuan Camara dan membayar kos yang tinggi untuk ramuan herba yang dikatakan penyembuh untuk membantu mereka mendapat anak.
Dia akan menyuruh pelanggannya minum campuran tumbuhan tersebut yang menyebabkan mereka muntah dan cirit-birit, tetapi memberi jaminan bahawa ia adalah sebahagian daripada proses untuk hamil.
Dia meminta mereka supaya tidak pergi ke hospital untuk merawat gejala tersebut, tetapi boleh berjumpa dengan Etienne Balamou, seorang juruteknik makmal yang membuka klinik rahsia di Conakry, yang polis percaya adalah rakannya.
Pada masa yang sama, ‘ubat’ tersebut akan menjadikan sesetengah perut wanita buncit secara kekal, menyebabkan mereka menganggap telah berlaku kehamilan.
Ada yang melaporkan mengandung selama 12 hingga 16 bulan.
Polis percaya Camara bertanggungjawab menipu lebih 700 wanita, mengenakan mereka bayaran AS$33 untuk setiap lawatan.
Bayaran itu mungkin nampak sederhana, tetapi di Guinea, purata gaji bulanan hanyalah sekitar AS$48.
Selain menipu, Camara juga menyebabkan masalah suami-isteri yang serius.
Polis Kolonel Moussa Tiégboro, yang mengetuai siasatan dalam kes ini, memberitahu wartawan bahawa lebih daripada 150 wanita yang datang bertemu Camara yakin bahawa mereka mengandung.
47 daripada mereka membuat imbasan ultrasound dan mereka semua terkejut mendapat tahu tiada bayi dalam perut mereka.
“Suami kepada wanita-wanita ini tidak sabar untuk menimang anak dan ini boleh memecahbelahkan keluarga,” kata Tiégboro.
“Sudah setahun kami berjumpa dengan wanita ini,” kata salah seorang mangsa Camara kepada BBC.
“Semasa lawatan pertama kami, dia memberikan kami ubat daun dan herba yang membuatkan kami muntah.
“Dia memberi jaminan bahawa ia satu petunjuk yang bagus untuk kami. Jika ubat-ubatannya terus dimakan, perut akan mula membesar.
“Tidak lama kemudian, kami berjumpa dengannya sekali lagi, dia buat pemeriksaan dengan hanya menyentuh perut dan mengesahkan kehamilan.”
Pihak berkuasa Guinea percaya bahawa Camara bertanggungjawab menipu lebih 700 wanita berumur 17 hingga 45 tahun dengan membuatkan mereka berfikir mereka sedang mengandung.
Pihak berkuasa Guinea percaya bahawa Camara bertanggungjawab menipu lebih 700 wanita berumur 17 hingga 45 tahun dengan membuatkan mereka berfikir mereka sedang mengandung.
Bomoh itu menafikan tuduhan ini.
Dia mendakwa bahawa dia hanya membantu dan Tuhan akhirnya bertanggungjawab untuk menentukan kehamilan seorang wanita.
“Saya bekerja keras untuk membantu merealisasikan impian mereka tetapi selebihnya Tuhan yang tentukan,” kata Camara kepada wartawan di Conakry.”
Walaupun menafikannya, mahkamah dijangka mendakwa Camara dengan tuduhan membahayakan nyawa orang ramai.
sumber: mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan