Seorang wanita telah menjadi mangsa aniaya individu yang tidak bertanggungjawab.Menurut laporan World of Buzz, mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa rambutnya telah dipotong oleh seorang individu ketika berada di stesen LRT Masjid Jamek.
"Rakan saya yang berada di stesen LRT Masjid Jamek terkejut apabila mendapati rambutnya dipotong oleh seseorang yang tidak dikenali.
"Individu itu terus mengambil dan meletak rambutnya di dalam poket seluar sebelum melarikan diri. Kejadian itu berlaku dengan pantas dan rakan saya tidak berkesempatan melihat siapa yang melakukannya," katanya rakan mangsa, Kang Jonathan di Facebook.
Dua gambar yang dikongsikan oleh Kang menunjukkan rambut panjang mangsa telah dipotong hampir 20 inci di bahagian tengah.
Sementara itu, netizen percaya perbuatan itu dilakukan oleh individu gila seks dan tidak menolak kemungkinan bahawa rambut itu digunakan untuk tujuan yang tidak baik.
Tidak kurang juga berpendapat, mungkin mangsa meletakkan rambutnya di belakang tempat duduk sehingga mengganggu orang yang berada di belakang yang kemudian mengambil keputusan untuk mengajar mangsa.
Ada yang mendakwa gambar itu bukanlah kejadian sebenarnya kerana ia menunjukkan gadis berkenaan duduk di kerusi yang kelihatan seperti kerusi di salun kecantikan. Namun ada netizen menyangkal dakwaan itu bahawa sudah semestinya mangsa terus pergi ke salun untuk memotong rambutnya daripada kelihatan pelik seperti itu.
Walau apa pun spekulasi netizen, golongan wanita dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling bila berada di tempat awam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Kredit:Pen Merah Press
Tiada ulasan:
Catat Ulasan