ads1

Khamis, 19 April 2018

(Video) 'Dah bagi kemudahan, dirosakkan pula' - Lif PPR dirosakkan 2 kanak-kanak perempuan


Kejadian vandalisme telah dilaporkan berlaku di setiap tempat. Kemudahan yang telah disediakan oleh pelbagai pihak adalah bertujuan untuk memudahkan orang ramai menjalani kehidupan mereka dengan lebih terurus. 

Malangnya, segalanya rosak dan musnah. Situasi ini menunjukkan sikap masyarakat yang semakin kurang dengan kesedaran sivik. Jika kita sudah bangga dengan kemajuan negara kita yang sudah berkembang pesat dengan era teknologi, mengapa tidak kita mengembangkan pemikiran kita ke arah masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi?

Md Yusof Hj Yahya baru-baru ini telah memuat naik sebuah video yang memaparkan dua kanak-kanak telah merosakkan sebuah lif di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Hiliran Ampang. Yusof berkata lif berkenaan baru sahaja diganti dengan yang baharu sebelum skrin LED ditumbuk oleh salah seorang kanak-kanak terbabit sehingga pecah. 

Tambahnya lagi, video berkenaan dijadikan tular di media sosial bukan bertujuan untuk mengaibkan sesiapa tetapi untuk memberikan peringatan dan kesedaran kepada masyarakat. 

Yusof juga mendakwa ada pihak yang menghubunginya dan meminta supaya  status tersebut dipadam jika tidak mahu disaman.

Walau bagaimanapun tindakan Yusof dipuji oleh netizen. Perbuatan kanak-kanak itu telah menyusahkan ramai pihak. Cuba bayangkan sekiranya ada ibu mengandung, orang-orang tua dan OKU yang memerlukan lif untuk kemana-mana.
Kejadian ini telah mengundang kemarahan netizen dan ada segelinti netizen berpendapat ibu bapa kanak-kanak terbabit patut dipersalahkan kerana tidak memberikan didikan kepada anak-anak mereka.

"Naya sungguh. Ingat barang tu turun dari langit ke. Kalau tak dapat membantu apa-apa, jangan rosakkan pula. Bukan setakat bayar ganti rugi sahaja, bagi notis supaya keluar dari perumahan tu sebab tak layak di bagi muka jika ada perangai yang menyusahkan penduduk lain.

"Betul-betul mak bapak dia simpan sikit kebodohan untuk anak cucu. Dan ini lah hasilnya. Tahniah. Anda berjaya.

"Kita beritahu pun ada pula yang call kita suruh delete posting ini. Siap cakap nak saman bagai. Kan ada bukti video CCTV, itu bukan edit.  Memang taklah. Nak delete buat apa? Ini nak bagi pengajaran kepada orang lain yang CCTV dalam lif itu bukan dummy, sebaliknya ia boleh merakam aktiviti dalam lif.

"Kita ada bukti kukuh dan fakta lengkap, bukan suka-suka nak mengaibkan orang. Daripada bayar peguam, baik repair semula kerosakan pada lif itu. Silap-silap dia kena saman balik.

"Kemudahan lif ini untuk digunakan semua penduduk. Bila dah diberi yang baru untuk kemudahan, tidak dihargai pula," katanya.



Berdasarkan pengalaman Yusof sebelum ini, dia pernah terpaksa mengguna tangga sebanyak lima kali sehari untuk turun dan naik di rumahnya di tingkat 16 kerana semua lif telah rosak dan belum dibaiki oleh pihak pengurusan.

"Kasihan penduduk yang tinggal di tingkat tinggi. Bila lif rosak, terpaksa naik tangga sampai tingkat 17. Pengalaman saya naik tangga tingkat 16 sehari lima kali semasa semua lif rosak, pihak DBKL belum ganti lagi pada masa itu. Bila tahu cerita macam ni, lagilah kita panas," katanya.

Ekoran kejadian itu, Yusof akan mengambil tindakan dengan membuat salinan kejadian itu dan dilekatkan di semua kawasan lif bangunan tersebut sebagai langkah memberi pengajaran kepada semua agar tidak melakukan vandalisme terhadap kemudahan yang disediakan. 

Kredit:TheReporter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan