ads1

Jumaat, 15 September 2017

Hebat dan mulia! Selama 16 tahun lelaki ini mengebumikan janin dan menyelamatkan ribuan kandungan dari digugurkan

Tidak semua orang mampu melakukan perkara mulia seperti lelaki ini. Barangkali boleh dikira dengan mudah terdapatnya manusia seperti lelaki ini di dunia. Tambahan beliau bukanlah dari golongan kaya dan berkemampuan untuk melakukan perkara mulia tetapi hanya golongan biasa dan sederhana yang kaya dengan budi pekerti mulia.
Kisah hebat dan mulia ini datangnya dari seorang pekerja pembinaan yang miskin bernama Tong Phuoc Phuc bersama sekumpulan pekerja sosial dan sukarela dari Vietnam yang mengumpul janin untuk dikebumikan, menyelamatkan kandungan dari digugurkan dan menjaga anak-anak terbuang dan ditinggalkan di rumah anak yatim. Senarai pekerjaan yang panjang lagi tidak mementingkan diri.
Tong Phuoc Phuc ialah seorang wira kepada anak-anak yang ditinggalkan dan digugurkan. Kisahnya pasti akan menyentuh hati anda. Tong Phuoc Phuc telah membantu mengubah hidup ramai wanita dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
Kisahnya bermula pada tahun 2001 apabila isterinya telah hamil dan beliau membawanya ke hospital untuk pemeriksaan. Semasa berada di sana, Tong Phuoc Phuc telah melihat ramai wanita mengandung yang memasuki sebuah bilik di hospital tersebut dan keluar dari bilik tersebut tanpa bayi. Beliau menyedari yang wanita-wanita ini telah menggugurkan kandungan mereka.
Hatinya berasa sangat sakit apabila mendapat tahu ramainya bayi yang tidak mempunyai peluang untuk dilahirkan di dunia. Jadi dia telah bertanya kepada kakitangan hospital dan meminta kebenaran untuk mengambil janin dan bayi-bayi yang telah digugurkan untuk diberikan pengebumian sempurna.
Pada Tong Phuoc Phuc, mereka semua walaupun masih belum sempurna sifatnya, tetap dianggap manusia olehnya.
Dengan sedikit wang simpanan yang Tong Phuoc Phuc kumpulkan, beliau telah dapat membeli sebuah tanah di pergunungan Hon Thom di bandar Nha Trang di mana janin dan jasad bayi-bayi yang malang itu dapat dikebumikan dengan sempurna.
Sehingga satu ketika, Tong telah dapat mengebumikan kesemua bayi ini dengan mengikut aturan seperti satu kawasan perkuburan.
Pada mulanya, isterinya memikirkan Tong telah hilang akal dengan ideanya, tetapi beliau tidak pernah berputus asa dengan tugas mulianya itu.
Selama beberapa tahun, lebih 10,000 janin dan mayat bayi telah dikebumikan dengan sempurna di lapangan tanah perkuburan Tong Phuoc Phuc. Secara tersiratnya, Tong telah menyelamatkan mereka semua.
Tong berkata perkuburan itu bukanlah satu tempat kesedihan, tetapi sebuah taman mengenang dan menyentuh hati wanita yang tidak pasti dengan perasaan dan fikiran mereka. Tong berharap ramai wanita akan mengubah fikiran mereka dan meneruskan untuk melahirkan kandungan mereka.
Tong Phuoc Phuc tidak bersetuju dengan cara ibu yang terdesak meninggalkan bayi mereka di tepi jalan dan bangunan seperti sampah.
Beliau juga tidak menyukai cara ibu-ibu yang meninggalkan sahaja bayinya di perkarangan rumahnya tanpa rasa tanggungjawab. Jadi Tong telah menawarkan khidmat untuk membantu dan menjaga anak-anak untuk ibu yang tidak berkemampuan menjaga anak mereka.
Daripada ditinggalkan dengan begitu sahaja, adalah lebih baik ibu-ibu ini meninggalkan anak-anak mereka buat sementara waktu untuk dijaga oleh Tong sehingga mereka telah berkemampuan dan mengambil mereka kembali kelak. Rumahnya telah dijadikan seperti rumah perlindungan anak yatim sementara.
Pada mulanya, Tong melakukan sendirian kesemua pekerjaan ini dan tidak menggalakkan sesiapa untuk mengikut jejaknya dengan memikirkan masyarakat akan memandang apa yang dilakukannya adalah salah dan pelik.
Namun, pihak hospital memahami tindakan dan tujuan murninya. Lama kelamaan ramai yang telah datang bertanya dan cuba memahami kerjanya yang akhirnya menyertai Tong menjadi pekerja sukarela.
Tong berkata, selepas mengebumikan ramai mayat bayi, beliau berfikir adalah lebih baik sekiranya nyawa bayi-bayi itu cuba diselamatkan olehnya.
Jadi, Tong telah pergi ke hospital-hospital dan wad bersalin lalu cuba berbual dengan ibu-ibu mengandung yang terdesak dan buntu, dan menasihatkan mereka supaya tidak melakukan pengguguran.
Jika ibu-ibu muda tidak mampu membesarkan bayi mereka, Tong akan sanggup memberikan bantuan dan membesarkan bayi-bayi ini seperti anaknya sendiri. Tong berjanji tidak akan menyerahkan anak-anak ini kepada orang lain.
Tong Phuoc Phuc telah membawa ratusan bayi ke rumahnya di Phuong Sai di bandar Nha Trang untuk dijaga olehnya.
Pada waktu ini , kira-kira 20 orang kanak-kanak telah dijaga olehnya. Tong mempunyai sebuah lagi rumah di Cam Ranh, 70 km di selatan Nha Trang dan menempatkan 50 orang bayi yang dijaga oleh pihak gereja di sana.
Tanah Tong di pergunungan Hom Thom, Nha Trang telah menempatkan 1,000 kubur bayi yang berukuran 8,000 meter persegi.
Semua bayi yang diserahkan kepadanya akan mengikut nama keluarga Tong. Oleh kerana beliau tidak dapat mengingati kesemua nama mereka, Tong telah meletakkan nama pertama bayi lelaki sebagai ‘Vinh’ bermaksud kehormatan dan bayi perempuan sebagi ‘Tam’ yang bermaksud hati. Manakala nama tengah mereka mengikut nama asal tempat kediaman ibu mereka, jadi amat mudah untuk mereka dikenali apabila ibu mereka datang dan mengambil mereka kembali kelak.
Tong Phuoc Phuc tidak pernah menganggap anak-anak ini sebagai anak angkat. Sebaliknya melayan mereka seperti anaknya sendiri.
Apabila anak-anak ini bertemu semula dengan ibu mereka, Tong adalah orang yang paling gembira dan berpuas hati. Setakad ini lebih 50 orang kanak-kanak telah diserahkan kembali kepada ibu mereka yang telah berkemampuan.
Kerja mulia Tong secara tidak langsung telah mengurangkan kadar pengguguran di kalangan wanita muda.
Pada tahun 2004, seramai 30 janin dan bayi telah dikebumikan Tong setiap hari. Tetapi kini, ada hari yang tiada langsung janin dan mayat bayi dibawa kepadanya untuk dikebumikan. Dan itu telah membuatkan beliau berasa gembira dan lega dengan impiannya yang hampir tercapai.
Setiap kali Tong berjumpa dan berbual dengan ibu mengandung yang ingin menggugurkan anaknya, mereka akan dibawa ke perkuburan itu dan kemudian ke rumahnya sambil melihat wajah-wajah anak kecil yang comel sebelum mereka membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut.
Tong mahukan ibu-ibu ini memahami akan tanggungjawab menjadi ibu dan tidak mahu mereka berasa menyesal dengan keputusan yang dibuat untuk sepanjang hayat mereka.
Walaupun tugas membesarkan dan mendidik anak-anak ini memerlukan banyak tenaga dan pengorbanan, Tong tidak pernah berasa letih dengan tugas mulianya itu.
Tong akan meneruskan tugas murni dan mulia ini sehingga ke akhir hayatnya. Tong sangat sukakan tugas menjadi bapa kepada anak-anak yang tidak berdosa ini.
Tong Phuoc Phuc adalah seorang lelaki hebat berhati mulia yang telah menyelamatkan banyak nyawa anak-anak yang tidak bersalah. Harapannya di masa depan, anak-anaknya akan meneruskan tradisi dan misi mulianya walaupun selepas beliau telah tiada di dunia ini kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan