ads1

Khamis, 7 September 2017

'Saya pernah berniat untuk bunuh diri kerana kecewa dengan kegagalan'


Hina sangat ke saya berniaga produk kecantikan? 

Mungkin ramai orang tahu atau tidak tahu yang saya dah travel ke pelbagai negara, buat aktiviti scuba diving di pelbagai pulau yang cantik, bermain snowboard di negara Eropah, menunaikan umrah pada 10 malam terakhir ramadhan, mempunyai kebebasan masa, bebas hutang, ada perniagaan sendiri dan saya sangat-sangat menikmati dan enjoy dengan kehidupan saya pada waktu ini. Syukur Alhamdulillah. 

Tetapi ada yang orang tidak tahu tentang saya adalah, saya sudah mengalami kegagalan banyak kali dalam pelajaran, perniagaan, kehidupan sehingga mengalami depresi yang sangat teruk dan pernah terfikir untuk mengambil langkah bunuh diri. 

Saya adalah pelajar yang selalu gagal dalam pelajaran sejak dari sekolah rendah lagi. Rekod saya 'drop out' ialah sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2006 di Matrikulasi Pulau Pinang, 2007 di UiTM Machang, 2015 di Universiti of Southampton dan saya juga pernah gagal teruk dalam bidang MLM pada tahun 2008/2009. Di mana pada ketika itu saya sanggup dibuang universiti sebab sibuk kononnya nak sangat menjadi jutawan MLM. Akhirnya kecundang di tengah jalan meratapi kesedihan.

Kereta hampir ditarik sebab bayaran tertunggak berbulan-bulan. Akhirnya mak dan ayah saya juga yang tolong bayarkan. Tetapi Alhamdulillah pada tahun 2012, saya berjaya menamatkan pengajian ijazah saya dan memohon kerja sebagai pegawai eksekutif di syarikat insurance broker di Kuala Lumpur.

Tahun pertama bekerja, Alhamdulillah saya enjoy. Tetapi setiap hari kena kerja siang dan malam. Kadang-kadang kena balik selepas subuh sebab nak menyiapkan tender penting dan perkara ini berlarutan selama dua tahun. 

Pada masa itu saya mula berfikir, "Takkanlah aku nak kerja seperti ini setiap hari?". Kerja sampai pagi, tetapi dapat gaji untuk bayar hutang. Apa benda tujuan hidup aku di dunia ini? Takkan hanya kerja makan tidur, kerja makan tidur dan selepas itu mati? Masa untuk keluarga tak ada dan tak berbaloi dengan kepenatan saya bekerja sampai malam setiap hari. Orang kata tak ada life! 

Hampir setiap pagi semasa saya keluar dari rumah mak nak menuju ke pejabat, saya mesti rasa benci dengan diri sendiri. Rasa macam terpenjara, memberontak. "Kenapa aku kena redah jem hari-hari di awal pagi dan balik lewat malam atau waktu subuh?"

Dari situlah saya terdetik nak sambung Master di UK. Saya buat permohonan secara online untuk sambung pelajaran master di UK dan Alhamdulillah saya diterima. Perasaan saya pada masa itu sangat gembira dan dapat hidup semula sebagai student. Faham-fahamlah kan life student macam mana. 


Kelas anytime nak pergi ke tak nak. Habis kelas, main PS4, tak payah fikir tentang bayar cukai, tak payah fikir nak siapkan tender, tak perlu fikir gaji cukup atau tidak, tak payah fikir tentang dateline kerja. Alangkah heaven gila! 

Selepas hampir empat bulan berada di Southampton, tiba masa hujung musim salji, keputusan peperiksaan semester satu keluar. Jadi ramai student boleh semak di portal universiti. Dan tiba masa saya semak keputusan peperiksaan saya dan saya tengok semua subjek saya gagal. Dari awal oagi senyum, hidup ceria, tiba-tiba kehidupan terus menjadi gelap ibarat awan semua menjadi hitam. Saya rasa masa depan saya dah gelap dan tidak ada masalah depan serta hilang arah tuju. 

Masa itu Allah saja yang tahu perasaan saya. Tiba-tiba semangat terus hilang. Kelas memang tak perlu cakap, tak masuk kelas langsung sehingga saya tak keluar bilik selama berminggu-minggu. Keluar hanya untuk makan sahaja. Sebab masa itu saya sangat down, depress, murung dan situasi ini berlarutan selama lima bulan. Bukan lima minit. Bayangkan saya down dan tertekan begitu lama. Saya hanya berkurung saja dalam bilik. Memang tak nak jumpa orang langsung. Tiada sesiapa yang tahu masalah saya walaupun kawan serumah. 

Setiap hari saya fikir dan bercakap pada diri, apakah saya ini tidak berguna? Belajar jauh-jauh menghabiskan duit keluarga. Saya tidak tahu nak letak di mana muka dan maruah saya. Masa itu saya hanya bayangkan raut wajah mak dan ayah yang sangat kecewa dengan kegagalan saya. 

Saya terpaksa menipu mak ayah yang saya okey bila mak call. 

"Amirul macam mana di UK?" saya balas okay, padahal tidak. 

Dalam diri saya terseksa menanggu depresi. Sebab apa? Sebab saya tak nak mak saya risau dan sedih tentang saya. Padahal saya sangat terseksa. Perasaan nak bunuh diri membuak-buak setiap hari. Sudahlah saya keseorangan di UK, tiada sesiapa yang nak menolong saya. Hari-hari saya depress dan fikir mungkin dengan bunuh diri boleh menyelesaikan masalah saya. 

Saya rancang mungkin nak bunuh diri dengan terjun dari bangunan tinggi, minum racun atau terjun di rel kereta api sambil menunggu untuk digilis. Astagfirullahalazim. Saya menaip ini sambil air mata mengalir sebab terkenang saat gelap saya pada ketika itu. 

Apa yang membuatkan saya sedar ialah, saya rasa macam di'jentik' oleh Allah dan saya fikir semula kalau saya rasa saya sudah gagal teruk, padahal ada lagi orang di luar sana yang lebih teruk keadaannya dari saya. 

"Takkanlah aku nak give up life macam itu saja? Nanti selepas bunuh diri, kena belasah dengan malaikat lagi. Kena humban dalam neraka lagi, adoi," 

Julai 2016, saya buat keputusan untuk pulang semula ke Malaysia dan saya nekad nak mengaku pada keluarga bahawa saya gagal dan dropout dari universiti. Masa itu hanya fikir mungkin kena buang keluarga, dihina oleh kawan-kawan dan saudara mara. Tetapi tidak, mak dan ayah tetap sayang dan menerima saya seadanya. Saya ingat kata-kata mak, 

"Mirul, ada manusia sampai ada PhD tetapi akhirnya meringkuk dalam penjara, akhirnya bunuh diri, kenapa? Sebab iman kosong, jiwa kosong," katanya. 

Masa itu air mata mengalir tanpa saya sedar bila mendengar kata-kata suci itu dari mulut mak. Ya Allah, teruknya aku. Dan selepas itu saya tiba-tiba nekad nak memulakan perniagaan sendiri. Saya terfikir nak bermula dengan food delivery service melalui apps. 

Kisah hitam bermula lagi sekali. Selama lima bulan saya bertungkus lumus membina perniagaan ini, pekerja dah ada, barang-barang pejabat, komputer dah dibeli, video iklan sudah siap, sudah berpuluh ribu duit dihabiskan dan kami hanya tunggu nak lancarkan apps sahaja. Tetapi, Apps Developer menipu dan tidak siapkan apps mengikut tarikh yang dijanjikan. Saya tunggu begitu lama, bagai nak gila. 

Stress yang sangat teruk dan saya terpaksa tanggung dengan overhead/perbelanjaan syarikat yang banyak yang saya kena tanggung. Apps yang mereka berikan hanyalah sampah. Kalau ia dilancarkan untuk didownload dan diguna, pasti nama syarikat dan nama saya jadi busuk dan viral satu Malaysia. 

Disebabkan itu, saya mengalami kerugian hampir RM100,000! Sekali lagi saya menemui kegagalan. Waktu itu saya hanya fikir lebih baik saya mati saja. Sebab apa? Bila dah cuba macam-macam tetapi masih gagal, buat itu ini tak menjadi, jumpa orang lain minta nasihat namun masih tiada penyelesaian, buntu, apa yang anda rasa? Mesti ada rasa putus asa, kan? Rasa diri tak berguna, buat semua benda tak menjadi. 

Orang lain berniaga tak sampai setahun dan jadi jutawan, kawan-kawan lain kerja hebat-hebat tetapi saya berniaga tak sampai setahun dah kena tipu. Sudahlah belajar pun gagal, drop out, tambah pula perniagaan kecundang ditipu pihak yang tak bertanggungjawab. 

Episod depresi saya yang kedua, saya dah tak tentu arah sehingga saya menyorok dalam bilik berminggu-minggu. Malu sangat dengan diri dan keluarga. Kalau ada saudara mara datang melawat, saya akan menyorok dalam bilik dan kunci pintu. Saya biarkan adik saya yang uruskan mereka. Perasaan malu, rendah diri, tiada keyakinan diri terlampau kuat dalam diri saya dan kejatuhan ini berlarutan selama enam bulan. 

Saya mendapat panggilan dari bapa saudara saya sendiri. Dia call semata-mata untuk gelak dan ketawakan kegagalan saya. Sepatutnya ahli keluarga beri sokongan, tetapi ini lagi menjahanamkan dan disebabkan kemurungan yang teruk, badan pun makin naik sampai 88 kilogram. Macam mana saya boleh balik selepas hampir enam bulan jatuh teruk?
  • Saya bawa kereta dan pusing seluruh Kuala Lumpur dan Selangor tanpa arah tuju. Kenapa? Sebab saya nak hilangkan masalah dan depresi yang menyelubungi dalam otak saya. Hampir setiap hari saya pergi ke masjid, fikir apa patut saya buat untuk bangkit semula dalam hidup dan perniagaan. Dah jatuh teruk baru nak mencari tuhan. 
  • Saya buat keputusan untuk pergi ke gym bagi menguruskan badan
  • Sedikit demi sedikit, saya mendapat semangat untuk bangkit semula.
  • Saya berkawan dengan rakan-rakan yang positif dan selalu memberi sokongan pada saya.

Satu hari, saya terfikir kalau sampah yang rosak boleh dikitar semula dan memberi manfaat kepada manusia, takkan saya dicipta Tuhan untuk disia-siakan? Takkan Allah cipta saya untuk gagal saja sampai mati? Takkan Allah cipta saya untuk menyusahkan orang lain? Takkan Allah cipta saya untuk bersedih dengan mengalami depresi memanjang? 

Jadi dari situ saya beranikan diri dan beri peluang pada diri saya untuk bangkit dan berniaga sekali lagi sebagai stokist dan penasihat produk kecantikan.


Mungkin anda tertanya-tanya mengapa banyak-banyak perniagaan di dunia ini saya memilih menjadi stokist produk kecantikan? Tak malu ke jual produk wanita? Produk kecantikan? Jawapan saya senang saja, saya berniaga dan mencari rezeki yang halal, yang tidak menyusahkan orang. Saya tak mencuri duit rakyat, tak makan rasuah, tak jual dadah dan benda-benda haram. Kalau saya susah atau rugi teruk pun, bukan orang lain atau kawan-kawan yang akan membantu membayar bil-bil saya. Saya kena bekerja keras untuk bayar semua itu. 

Malah saya bangga, bersyukur dan gembira serta enjoy dengan perniagaan yang saya buat sekarang. Hanya fokus menjaga pelanggan saya dengan baik dan bantu mereka mendapatkan kulit wajah yang cantik dan berseri-seri, itu sahaja. 

Saya bermula dengan dropship, nak mencuba dulu ada ke orang nak membeli produk dari saya. Alhamdulillah pada hari pertama, saya dapat menjual dua kotak. Bagi orang lain memang tiada apa-apa sebab mereka boleh jual 200 atau lebih banyak dari saya. Tetapi nikmat saya dapat menjual dua botol adalah satu kejayaan yang besar dan sangat bermakna bagi saya. Malah saya rasa seronok bila pelanggan dapat kulit yang cantik. Dalam masa yang sama kehidupan mereka berubah lagi baik dan bertambah keyakinan diri. 

Ia bukan kerana untung atau duit semata-mata tetapi nikmat yang saya tidak boleh beli dengan duit ialah kepuasan. Saya sangat puas hati dapat membantu pelanggan saya untuk mendapatkan kulit yang mereka idamkan di mana sebelum ini kebanyakan mereka dihina, dikhianati, ditinggalkan kerana masalah kulit muka yang merupakan aset pentign dalam diri kita. Muka memainkan peranan penting bila berdepan dengan orang lain kerana ia mewakili imej dalam kehidupan pekerjaan seharian kita. 

Saya akan teruskan perjuangan saya untuk membantu mereka yang ada masalah kulit dan dapatkan balik semangat hidup dan keyakinan diri mereka. Saya harap apa yang saya kongsikan tentang kisah jatuh dan bangun hidup saya ini, dapat memberi inspirasi kepada anda semua. 

Lain orang lain dugaan dan ujiannya. Yang paling penting, jangan mudah berputus asa dalam hidup. Selagi kita bernyawa, selagi itu kita mesti berjuang. 

Kiriman: Amirul Jafni

Kredit: the reporter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan