Sekolah akan dibuka kembali! Pasti ibu bapa sedang sibuk menyiapkan keperluan anak-anak seperti membeli buku sekolah, membayar yuran sekolah, membeli peralatan tulis dan pakaian sekolah.
Kelihatan di mana-mana pasaraya memberikan potongan harga barangan persekolahan yang sungguh menakjubkan. Malah ia seolah-olah menjadi satu kewajiban untuk membeli pakaian seragam sekolah baharu sebagai satu permulaan untuk menempuhi alam persekolahan terutamanya bagi anak-anak yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah.
Terdapat banyak pendapat mengenai sama ada pelajar sekolah perlu memakai pakaian seragam sekolah atau tidak. Antara faktor sesetengah ibu bapa menyokong bahawa pakaian seragam sekolah itu perlu ialah ia dapat membantu mendisiplinkan anak-anak mereka, semua pelajar adalah sama tanpa mengira latar belakang keluarga mereka sama ada miskin atau kaya dan ibu bapa tidak perlu memikirkan pakaian apa yang harus dibeli untuk anak-anak mereka. Namun begitu, ada sesetengah pihak yang menganggap pemakaian pakaian seragam sekolah ‘membunuh’ keperibadian dan tidak memberi kesan terhadap pembelajaran anak-anak.
Biar apa pun pendapat mereka, kami merasakan pakaian seragam sekolah adalah unik dan menarik. Mari lihat pakaian seragam sekolah dari negara lain seperti berikut.
#Jepun
Pakaian seragam sekolah pelajar perempuan yang disebut “seifuku” menjadi terkenal melalui buku komik dan cerita kartun animasi.
Blouse berwarna biru laut, skirt berlipat, kasut bertumit dan stoking paras lutut adalah satu kewajiban bagi mereka. Pada musim sejuk mereka tetap memakai pakaian seragam ini.
Untuk pengetahuan anda, pelajar-pelajar perempuan akan menggunakan gam khas supaya stoking tidak melurut ke bawah.
Kredit: Wikimedia Commons & 紅色死神 / flickr
#Great Britain
Di England, pemakaian seragam sekolah adalah wajib ke atas setiap pelajar. Pemilihan pakaian seragam sekolah berwarna biru dipercayai untuk mengajar pelajar supaya lebih teratur dan tenang.
Kini, setiap sekolah mempunyai simbol dan pakaian seragam tersendiri. Ada juga sekolah yang sangat tegas di mana mereka tidak membenarkan pelajar memakai pakaian pendek ketika musim panas.
Seperti yang dapat anda lihat, pelajar lelaki ini memakai skirt ke sekolah sebagai tanda protes terhadap pemakaian seragam sekolah.
Kredit: Wikimedia Commons & simsalabimbam / reddit
#Australia
Sistem pendidikan Australia banyak mengambil kaedah pengajaran dan pembelajaran dari Great Britain. Ini termasuk pakaian seragam sekolah seperti yang dapat anda lihat tetapi mereka lebih terbuka dan berwarna cerah. Kebanyakan sekolah meminta pelajar memakai topi disebabkan cuaca panas.
Kredit: Flickr
#Rusia
Pada tahun 90-an, pemakaian pakaian seragam sekolah dimansuhkan namun sejak tahun 2013, setiap pentadbiran sekolah bebas untuk membuat peraturan sendiri mengenai pakaian sekolah.
Ada sekolah yang mewajibkan pelajar memakai pakaian seragam sekolah dan ada juga sekolah yang hanya menetapkan kemeja berwarna putih manakala seluar atau skirtberwarna gelap.
Kredit: fabrika_mirov_omu
#Cuba
Terdapat beberapa variasi pakaian seragam sekolah di Cuba. Antaranya ialah kemeja putih dan skirt atau seluar pendek berwarna merah dan tali leher sama ada berwarna biru atau merah.
Kredit: Adam Jones & Chris Cheadle
#China
Pelajar China mempunyai beberapa jenis pakaian seragam sekolah sama ada semasa cuti atau hari biasa, semasa musim panas atau musim sejuk. Pemakaian seragam sekolah pada setiap hari kelihatan seperti pakaian sukan.
Kredit: Anna Frodesiak & Wikimedia Commons
#Ghana
Setiap kanak-kanak perlu memakai pakaian seragam tetapi Ghana yang merupakan negara berpendapatan rendah dan tahap kemiskinan yang sangat tinggi menyebabkan kanak-kanak tidak dapat ke sekolah kerana ibu bapa tidak mampu membelikan pakaian seragam sekolah untuk anak-anak mereka.
Pada tahun 2010, pihak kerajaan telah menyalurkan bantuan pakaian seragam sekolah secara percuma ke seluruh bandar.
Kredit: Henry Akorsu (USAID) / Wikimedia Commons
#Syria
Sebelum berlakunya isu politik, pakaian seragam sekolah di Syria berubah daripada warna khaki kepada warna yang lebih terang seperti biru, kelabu dan merah jambu.
Kredit: Flickr
#Bhutan
Antara negara di seluruh dunia yang menjadikan pakaian tradisional sebagai pakaian seragam sekolah ialah Bhutan.
Pakaian pelajar perempuan disebut “kira” manakala pakaian pelajar lelaki disebut “gho”. Dahulu pelajar-pelajar membawa semua buku teks dan peralatan sekolah lain di dalam pakaian mereka dan kini mereka membawa beg sekolah namun masih ada pelajar yang masih mengikuti cara lama. Unik bukan?
Kredit: Flickr
#Korea Selatan
Bagi peminat drama Korea, anda pasti sudah sedia maklum pakaian sekolah negara tersebut melalui drama-drama Korea yang berkisahkan kehidupan pelajar sekolah.
Pelajar-pelajar Korea menghadiri kelas dari pagi hingga petang dan masa mereka banyak dihabiskan di sekolah.
Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara mereka merasakan sekolah adalah tempat yang romantik. Setiap sekolah mempunyai kod pakaian yang tersendiri namun pakaian seragam agak terkenal biarpun di luar sekolah atau antara selebriti.
Kredit: Korean Broadcasting System
#Korea Utara
Di Korea Utara, pemakaian seragam sekolah adalah wajib. Pelajar perempuan memakai gaun manakala pelajar lelaki memakai kemeja dan seluar. Namun yang paling penting ialah kain scarf berwarna merah sebagai simbol menyokong parti politik Korea Utara.
#India
Hampir semua sekolah di India mewajibkan pelajarnya memakai pakaian seragam sekolah. Pelajar lelaki diwajibkan memakai kemeja berbutang, seluar pendek, stoking dan kasut berwarna gelap. Manakala pelajar perempuan pula diwajibkan memakai skirtlabuh dan seluar panjang berserta kasut.
Kredit: East News
#Vietnam
Pakaian sekolah rendah dan menengah lebih kurang sama dengan negara kita cuma bezanya ialah pakaian seragam sekolah menengah pelajar perempuan.
Mereka memakai pakaian berwarna putih yang disebut “ao dai” yang merupakan pakaian tradisional masyarakat Vietnam.
Ada sekolah yang mewajibkan pelajar perempuan memakainya setiap hari dan ada juga sekolah yang menuntut pelajar perempuan memakainya pada acara-acara tertentu.
#Indonesia
Di Indonesia, pemakaian pakaian seragam sekolah adalah berbeza mengikut tahap pendidikan. Semua sekolah mengenakan kemeja berwarna putih manakala warna seluar atau skirt adalah berbeza sama ada merah, biru gelap atau kelabu.
#Malaysia
Malaysia juga tidak terkecuali dalam kewajipan memakai pakaian seragam sekolah.
Di mana-mana sekolah, pelajar biasa akan memakai kemeja atau baju kurung berwarna putih bersama seluar hijau lumut atau kain atau skirt berwarna biru turquoise.
Bagi pelajar yang berjawatan seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, ketua kelas atau penolong ketua kelas pula dituntut berpakaian khas sama ada warna biru, merah jambu, coklat, kuning atau ungu mengikut sekolah masing-masing.
Bagaimana? Menarik dan unik bukan? Apa pula pendapat anda mengenai pemakaian pakaian seragam sekolah ini? Pakaian seragam sekolah negara manakah yang menjadi pilihan anda?
Walau apa pun yang anda fikirkan, jika anda masih bersekolah, nikmatilah saat-saat manis anda berpakaian sekolah kerana selepas tamat persekolahan, anda sudah tidak berpeluang lagi untuk memakai pakaian yang cukup bernilai itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan