Antiques Roadshow adalah sebuah rancangan televisyen di mana para pentaksir pergi ke bandar-bandar yang berbeza untuk menilai kualiti dan harga karya seni, perabot atau barang kemas yang dimiliki penduduk tempatan. Ia pertama kali disiarkan di Britain pada tahun 1979 dan masih disiarkan sehingga hari ini.
Rancangan TV ini menjadi begitu popular sehingga negara lain turut mengambil konsep rancangan ini dan menyiarkannya di saluran TV negara mereka seperti yang disiarkan di Australia, Kanada, Finland, Jerman, Sweden dan Amerika Syarikat.
Antiques Roadshow versi Amerika Syarikat pertama kali disiarkan pada tahun 1997. Pada tahun 2014, pameran tersebut telah ke Richmond, di mana seorang kanak-kanak lelaki bertemu dengan David Weiss, seorang yang pakar dalam lukisan, cetakan, arca dan permaidani Oriental.
Kanak-kanak lelaki itu merupakan pengumpul barangan kaca, perak sterling dan seni. Kebanyakan barang-barang tersebut dibeli di rumah lelongan tempatan di bandarnya dan dia kemudian menjualnya secara atas talian.
Weiss kelihatan kagum dengan apa yang dilakukan kanak-kanak itu yang membeli dan menjual perak serta sentiasa peka dengan harga pasaran barang-barang antik. Weiss kemudian bertanya kepada kanak-kanak lelaki tentang lukisan yang dibawa bersamanya pada hari itu.
“Lukisan ini saya temui ketika julan lelong di Selatan Jersey,” kata kanak-kanak lelaki itu. Menurutnya lagi, dia dan ayahnya telah menunggu selama satu jam lebih untuk mendapatkannya. Akhirnya mereka berhasil mendapatkan lukisan tersebut dengan harga $2 (RM7.79)
“Saya fikir ia adalah cat air, tetapi kami tidak begitu pasti kerana ada kaca UV,” katanya lagi.
“Kamu betul, itu adalah cat air,” jawab Weiss.
Weiss kemudian menumpukan perhatian kepada tanda tangan yang ada pada lukisan itu.
Rupa-rupanya lukisan itu adalah hasil karya Albert Neuhuys, seorang pelukis Belanda yang dilahirkan pada tahun 1844 dan meninggal dunia pada tahun 1914. Melihat pada lukisan tersebut, Weiss percaya ia dihasilkan pada suku terakhir abad ke-19.
Neuhuys, bersama dengan pelukis Belanda yang lain, sering melukis adegan seorang ibu dengan seorang kanak-kanak atau dua kanak-kanak yang menggambarkan kehidupan keluarga setiap hari.
Selepas berkongsi latar belakang mengenai pelukis itu, Weiss bertanya kepada kanak-kanak lelaki itu agak-agaknya berapakah harga lukisan itu sekarang.
“Seratus lima puluh dolar,” jawab kanak-kanak lelaki itu.
Weiss kemudian memberitahunya yang dia pasti bahawa jika lukisan itu diletakkan untuk lelongan hari ini, Weiss menganggarkan harga jualan lukisan tersebut boleh mencecah antara $ 1,000 (RM3,893.17) hingga $ 1,500 (RM5,839.76)!
Kanak-kanak lelaki itu seakan-akan tidak percaya dengan harga lukisan tersebut. Dengan harga tidak sampai RM8 dia kini boleh mendapat keuntungan lebih daripada RM5,000 jika dia menjual lukisan tersebut.
“Saya fikir kamu mempunyai masa depan yang cerah sebagai peniaga seni. Kamu mesti menyimpannya.” Ujar Weiss lagi.
Itu adalah sebuah permulaan yang baik buat kanak-kanak lelaki itu. Siapa tahu dia sememangnya mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang tersebut?
Kredit:Era Baru
Sumber: NTD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan