Satu entri Facebook yang dimuat naik oleh seorang guru di Ghana menjadi tular dengan serta-merta dan berjaya mencuri perhatian ramai netizen disebabkan oleh kaedah pengajaran mata pelajaran Informasi dan Teknologi Maklumat tanpa menggunakan sebarang komputer!
Tapi, macam mana dia mengajar subjek ini tanpa komputer? Macam mustahil sahaja?
Menurut Bored Panda, guru berkenaan yang dikenali sebagai Owura Kwadwo terpaksa menggunakan kaedah tertentu bagi mengajar subjek berkenaan di sebuah kawasan pedalaman yang sudah tentu tidak mempunyai kelengkapan dan sumber teknologi yang diperlukan.
Menceritakan semula pengalamannya semasa mengajar subjek tersebut, Owura menyatakan bahawa dia mempunyai kemahiran di dalam bidang seni lukisan visual. Oleh itu, dia telah melukiskan gambaran skrin pada paparan Microsoft Word di papan hitam bagi membolehkan para pelajar memahaminya dengan lebih mudah.
“Saya lakukannya supaya mereka faham apa yang saya ajarkan. Sekurang-kurangnya, saya dapat berikan gambaran sebenar tentang apa yang akan mereka lihat pada komputer”.
Kaedah ini nampaknya membuahkan hasil memandangkan para pelajar di kelasnya kelihatan seronok dalam mempelajari mata pelajaran itu.
“Saya juga akan memastikan mereka betul-betul faham sebelum meninggalkan kelas”.
Sejak kisah ini tular, Owura menjadi bualan hangat di seluruh Ghana. Malah, ramai pihak yang memberikan pelbagai reaksi terhadap segala usaha guru ini. Ada yang memuji tindakan dan dedikasinya tetapi tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa masih terdapat kekurangan dari segi penggunaan teknologi di tahun 2018.
Bagi Owura, walaupun lambat, masyarakat di sana sudah mula bergerak ke arah kemajuan dan penggunaan teknologi.
“Kerajaan sangat membantu dan saya percaya, pihak mereka sedang berusaha dalam menjadikan subjek ICT lebih baik untuk para pelajar dan guru”.
Sejak itu, Owura turut menerima banyak tawaran sumbangan berbentuk komputer riba dan juga alat pancaran projektor.
Perkara ini ternyata dianggap sebagai berita yang menggembirakan buat seluruh warga sekolah. Owura turut bersyukur atas segala bantuan yang diberikan oleh ramai pihak dalam memastikan anak-anak ini mampu menjana pengalaman baru di dalam bidang tersebut.
Di samping itu, Owura turut merancang untuk membantu sekolah-sekolah lain yang turut mengalami masalah sama di kawasan tersebut.
“Saya juga ingin membantu dengan memberikan sumbangan kepada mereka supaya mereka juga boleh mendapat manfaat menerusi pengajaran subjek ini,” kata Owura lagi.
Sesungguhnya, usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Owura adalah satu contoh yang baik dan wajar diikuti oleh semua guru di negara membangun seperti Ghana.
Sekiranya kerajaan tidak mampu untuk menyediakan sebarang kemudahan, guru-guru perlulah mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan penambahbaikan.
Kredit:Era Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan