ads1

Rabu, 14 Mac 2018

“Saya Menyesal Buat Anak Saya Macam Itu,” Bapa Dipenjara 10 Tahun, Hentak Bayi Usia 4 Bulan Ke Lantai Hingga Koma..


Perbuatan tidak berhati perut seorang bapa yang cuba membunuh bayi lelakinya berusia empat bulan dengan menghentak mangsa ke lantai sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan koma, mendapat pembalasan apabila dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat,

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap pelaku berusia 29, yang merupakan gelandangan selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama pembicaraannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 5 November 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Zaman bertanya kepada tertuduh:” Adakah kamu sedar perbuatan yang dilakukan oleh kamu akan menyebabkan anak kamu mati,”?

Pelaku yang memakai kemeja-T berwarna biru dan berseluar jeans itu dengan bersahaja menjawab “Saya sedar.”

Lelaki itu didakwa telah melakukan kesalahan cubaan bunuh terhadap seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang menyebabkan kecederaan iaitu pendarahan dalam otak akibat dihentak ke lantai.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bilik sewa, di Jalan Lorong Haji Taib 1 Chow Kit, di sini pada 7.30 petang , 4 November 2017 mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, maka pesalah itu hendaklah dikenakan penjara yang boleh sampai 20 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan dia insaf dengan kesalahannya itu.

“Saya menyesal buat anak saya macam itu,”katanya dari dalam kandang tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon hukuman wajar dan setimpal mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh yang baru berusia empat bulan.


“Mangsa adalah seorang bayi yang tidak mengetahui apa-apa, sebagai seorang bapa, tertuduh harus menjaga kebajikan anak dan bukan sebaliknya.

“Kanak-kanak harus dilindungi kerana banyak kes penderaan dan pengabaian… anak adalah anugerah bagi setiap ibu bapa,” katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan seorang doktor telah menerima seorang pesakit iaitu bayi berusia empat bulan yang dibawa oleh ibu angkatnya dan memaklumkan anaknya jatuh.

Hasil pemeriksaan dan imbasan CT otak mendapati terdapat pendarahan pada otak dan bayi berada dalam keadaan koma lalu pengadu membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi itu telah didera.

Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi itu dan menjaga bayi tersebut sewaktu ketiadaan ibu angkat.


Bagaimanapun, bapa angkat kepada bayi tersebut yang merupakan saksi mata telah melihat tertuduh mencampak bayi tersebut dan dia cuba menghalang tertuduh tetapi tidak dihiraukan.

Namun, sebaik sahaja ibu angkat pulang tertuduh menyuruh wanita itu membawa bayi ke hospital dan laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami ‘intracranial bleeding' dan tertuduh ditangkap pada 5 November tahun lepas.--Bernama

Sumber:Pen Merah Press

Tiada ulasan:

Catat Ulasan