Satu kisah yang sangat memberi inspirasi dan membuktikan kepada kita semua bahawa masih terdapat ramai insan yang berhati mulia di dunia ini.
Sekitar dua tahun lalu, Bobby Puryear telah pergi ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang tunai. Setibanya di mesin ATM, Bobby terkejut setelah melihat beberapa keping wang tunai yang bernilai lebih RM2,000 dibiarkan pada mesin tersebut.
Merasakan mungkin ada individu yang terlupa mengambil wangnya, Bobby bergegas masuk ke dalam bank untuk menyerahkan wang tersebut kepada si pemilik namun tiada siapa yang mengakui wang tersebut adalah milik mereka.
Bobby kemudian mahu menyerahkan wang tersebut kepada pekerja bank tetapi tiada yang mahu menerima. Justeru, dia mengambil keputusan untuk tetap berusaha mencari pemilik sebenar wang tunai yang banyak itu!
Bobby telah menghubungi pengurus bank dan mencadangkan pihaknya untuk mencari siapa pengguna mesin ATM tersebut sebelumnya. Pengurus berkenaan bersetuju dengan cadangan Bobby dan memaklumkan akan menghubunginya setelah mendapat tahu.
Keesokan harinya, Bobby menerima satu panggilan telefon daripada bank berkenaan yang memaklumkan bahawa pihaknya berjaya menemui pemilik wang tersebut.
Dilaporkan bahawa individu berkenaan adalah seorang wanita warga emas yang berusia 92 tahun bernama Edith. Daripada rakaman kamera pengawasan, Edith kelihatan seperti terlupa untuk mengambil wang tersebut sebelum berlalu pergi.
Setelah mengetahui bahawa wangnya berada di tangan Bobby, Edith ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan terus menawarkan wang sebanyak RM82 yang merupakan wang simpanan terakhirnya untuk bulan tersebut kepada Bobby.
Sudah tentu, Bobby enggan menerima ganjaran yang ingin diberikan oleh Edith. Simpati dengan keadaan wanita tua itu yang tinggal sendirian dan tidak berkeluarga, Bobby kemudian segera menghubungi pihak bank dan meminta mereka untuk memasukkan sejumlah wang bernilai lebih RM815 daripada akaunnya ke dalam akaun Edith.
Sumbangan ikhlas tersebut dilakukan dengan niat supaya Edith mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan hariannya.
Setelah itu, kisah kebaikan hati Bobby mula menular dan sampai ke pengetahuan rakan sekerjanya. Mengejutkan, rakan-rakan sekerjanya mula memutuskan untuk turut sama membantu dan telah menyumbangkan sebanyak RM400 kepada Edith.
Di samping itu juga, pihak bank telah menceritakan kisah Bobby dan Edith kepada pekerja bawahannya dan mereka juga mengambil keputusan untuk membantu dan menyumbangkan dana sebanyak RM800 kepada Edith.
Kisah yang pada awalnya membabitkan seorang wanita tua yang kehilangan wang kemudian bertukar menjadi kisah menakjubkan telah disiarkan di Facebook dan mendapat lebih daripada 200,000 perkongsian!
Sejak peristiwa itu, ramai netizen yang mula menjadi rakan Facebook Bobby kerana kagum dengan sikapnya yang penyayang serta baik hati.
Sumber: Happiest
Tiada ulasan:
Catat Ulasan