Suatu hari, seorang budak lelaki pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, dia terus mendapatkan ibunya.
“Tadi di sekolah, cikgu beri surat. Dia suruh saya serahkan untuk ibu. Ini suratnya,” kata budak lelaki itu sambil menghulurkan sekeping kertas kepada ibunya.
Mata ibunya mula berkaca-kaca sebaik habis membaca surat itu. Hairan melihat reaksi ibunya, budak itu bertanya apa yang tertulis di kertas itu kerana dia tidak tahu membaca.
Ibunya tersenyum. Lalu dalam linangan air mata, ibunya membacakan isi surat itu untuk didengari oleh anak lelakinya.
“Anak anda seorang yang bijak. Sekolah ini terlalu kecil untuk orang sepertinya dan kami tidak mempunyai guru yang bagus untuk mengajarnya. Lebih baik anda mengajarnya sendiri.”
Mendengarkan itu, budak tersebut berasa bangga dan merasakan dia adalah anak yang istimewa sehingga hanya ibunya seorang yang mampu mengajarnya.
Bertahun-tahun kemudian, budak itu pun membesar. Ibunya juga sudah meninggal dunia.
Dia benar-benar menjadi seorang yang bijak dalam bidang penciptaan dan namanya dikenali.
Suatu hari, dia mencari barang-barang lama peninggalan keluarga dan tiba-tiba dia terjumpa sepucuk surat yang sudah kekuningan.
Dia masih ingat itulah surat yang diberi gurunya dahulu untuk diberikan kepada ibunya.
Lalu dia membaca semula surat itu.
“Anak anda bermasalah, tidak mampu berfikir seperti kanak-kanak lain. Kami tidak benarkan dia datang ke sekolah lagi.”
Sebaik habis membaca surat itu, dia menangis. Baru dia tahu kenapa ibunya menangis. Ibunya terpaksa berbohong sewaktu membacakan surat itu dahulu.
Lantas dia menulis di dalam diarinya.
“Dahulu aku seorang anak yang bermasalah, tetapi melalui seorang ibu yang muncul sebagai hero, akhirnya aku muncul menjadi seorang genius yang dikenali dunia.”
Siapa murid bodoh itu?
Dia ialah usahawan dan pereka cipta terkenal dunia. Thomas Alva Edison!
***
Semua orang belajar dengan cara yang berbeza. Seseorang yang gagal belajar mengikut sistem yang disediakan, bukan bermakna dia seorang yang ‘sakit’ dan akan gagal selama-lamanya.
sumber : sentiasapanas , teabeng
Tiada ulasan:
Catat Ulasan