ads1

Khamis, 19 April 2018

LELAKI INI AMBIL MASA DUA TAHUN UNTUK BINA JALAN DI KAWASAN GUNUNG SUPAYA ANAKNYA DAPAT KE SEKOLAH DENGAN SELAMAT!



Seorang penduduk daerah pedalaman Kandhamal yang terletak di Odisha, India telah melakukan satu inisiatif bagi membolehkan anak-anaknya pergi ke sekolah tanpa sebarang halangan.
Lelaki berusia 45 tahun dan dikenali sebagai Jalandhar Nayak ini telah membersihkan semak samun dari kawasan gunung menghubungkan kawasan perkampungannya di Gumsahi dan juga kawasan pekan sepanjang 8km demi memastikan anak-anaknya dapat ke sekolah dengan selamat.
Jalandhar yang juga bekerja sebagai pembekal sayur-sayuran telah memulakan projek ini secara sendirian sejak dua tahun lalu. Setiap hari, dia akan bekerja selama lapan jam semata-mata untuk menghubungkan kawasan kampungnya dengan jalan utama di pekan Phulbani.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Jalandhar memberitahu Asian News International:
“Tiada sekolah di kampung dan kami terpaksa pergi ke pekan dengan melalui jalan yang susah. Jadi, saya putuskan untuk membina jalan”.
Tambah Jalandhar lagi, “Di sini juga tiada kemudahan hospital. Pernah sekali saya terpaksa membawa isteri yang sedang sarat ke pekan sejauh tiga batu dengan membawanya di dalam dola (sejenis bakul)”.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Blok, SK Jena memaklumkan bahawa pihaknya pernah meminta Jalandhar sekeluarga untuk menetap di bandar tetapi pelawaan tersebut ditolak.
Tambahan pula, keluarga Jalandhar merupakan satu-satunya keluarga yang masih tinggal di kampung berkenaan. Rata-rata penduduk lain sudah berpindah ke kawasan lain disebabkan oleh keadaan infrastruktur yang teruk dan tiada bekalan elektrik mahupun air.
“Kawasan yang didudukinya adalah kawasan yang tidak boleh didiami. Kami pernah mengajaknya untuk tinggal di bandar tetapi dia menolak. Sokongan kami sentiasa ada bersamanya sama ada dia akan berterima kasih atau tidak, itu masih belum diputuskan lagi”.
Pada masa yang sama, tindakan Jalandhar yang gigih membanting tulang membina jalan baharu telah mendapat perhatian daripada pihak pentadbiran kawasan tersebut. Oleh demikian, pihaknya bercadang akan memberikan ganjaran kepada Jalandhar di bawah skim MGNREGS.
“Usaha dan kegigihan Jalandhar yang sanggup bina jalan membuatkan saya terpaku… Dia akan dibayar di bawah skim MGNREGS untuk pekerjaan tersebut”.
Sejak itu, berita mengenai Jalandhar menjadi buah mulut ramai sehingga ada pihak yang mahu memberikan penghargaan dan bantuan kewangan kepadanya atas kecekalannya untuk membina jalan di satu kawasan terpencil negara tersebut.
Beberapa tahun lalu, terdapat seorang lelaki bernama Dasrath Manjhi yang turut mempunyai kisah yang sama seperti Jalandhar.
Dasrath dikatakan telah menghabiskan masa selama 22 tahun untuk membina jalan baharu di kawasan pergunungan sekali gus mengurangkan jarak perjalanan antara dua daerah sebanyak 42 km!
Bagaimanapun, Dasrath meninggal dunia pada 2007.
Kredit:Era Baru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan