Doktor merupakan suatu pekerjaan yang mulia. Namun, terdapat beberapa doktor di muka bumi ini yang bertentangan dengan norma tugas sebenar mereka. Kesemua mereka ini menjalankan eksperimen penuh kekejaman sehingga sanggup membunuh pesakit mereka sendiri. Iluminasi.com membawakan anda senarai 10 doktor paling kejam yang pernah wujud dalam sejarah.
10. Walter Freeman
Walter Freeman, ahli neurologi dari Amerika Syarikat ini kemudiannya bertukar profesion kepada seorang pakar perubatan. Dia dikenali kerana kegilaannya tentang "lobotomi" iaitu pembedahan yang melibatkan pemotongan serat-serat saraf lobus otak.
Berbanding niat brutal, Freeman mempunyai dorongan semangat untuk menyempurnakan teknik itu yang kini sudah lapuk. Dia telah melakukan lebih 20 lobotomi sehari. Freeman sering membenarkan media untuk menyaksikan perkhidmatannya itu terhadap kira-kira 3,500 pesakit. Namun, dia kemudiannya dilarang daripada terus mempraktikkan lobotomi selepas kematian beberapa orang pesakit.
9. Marcel Petiot
Marcel Petiot pula seorang doktor merangkap pembunuh bersiri dari Perancis yang didakwa telah membunuh sekurang-kurangnya 60 nyawa yang tidak berdosa. Dia mula membuka sebuah klinik selepas menjalani latihan praktikal di sebuah hospital mental. Setelah itu, Petiot mencetuskan kontroversi atas tuduhan pengguguran haram dan ubat-ubatan tambahan.
Walaupun pada mulanya terlepas dari sebarang tindakan undang-undang, dia akhirnya ditangkap ketika bau busuk dan asap dikesan di rumahnya. Polis menemui bahagian tubuh manusia yang sudah dibakar. Selepas perbicaraan, Petiot dipenggal kepalanya pada 25 Mei 1946.
8. Jayant Patel
Dikenali sebagai "doktor kematian", Jayant Patel ialah seorang pakar perubatan dari India yang bekerja di Amerika Syarikat dan seterusnya berpindah ke Australia. Dia dipercayai bertanggungjawab atas sebanyak 87 kematian semasa khidmatnya antara tahun 2003 dan 2005, kerana ketidakcekapan dan kurang pengetahuan.
Patel didakwa menjalankan pembedahan yang tidak sepatutnya, kadangkala melibatkan para pesakit doktor yang lain. Dia juga dituduh memalsukan dokumen. Pada tahun 2010, Patel didapati bersalah membunuh beberapa orang pesakit dan dihukum penjara selama 7 tahun.
7. Carl Clauberg
Carl Clauberg, seorang doktor dari Jerman, merupakan antara ramai doktor yang melakukan eksperimen terhadap penghuni kem tahanan Nazi yang bernasib malang. Dia bekerja di Aushwitz setelah mendapat kelulusan daripada Heinrich Himmler untuk melakukan eksperimen pemandulan terhadap golongan wanita.
Clauberg cuba mencari kaedah pemandulan yang murah dengan menyuntikkan asid ke dalam rahim. Eksperimennya itu menjadikan sekitar 700 wanita sebagai mangsa, sehingga mengakibatkan kematian ramai dari mereka. Clauberg kemudiannya ditangkap oleh pasukan Soviet dan dibebaskan. Selepas itu, dia ditangkap semula tetapi meninggal dunia sebelum sempat menjalani perbicaraan.
6. Shiro Ishii
Shiro Ishii merupakan seorang ahli mikrobiologi dari Jepun dan leftenan jeneral dalam unit peperangan biologi tentera Jepun semasa perang Sino-Jepun kedua. Dia memulakan penyelidikannya pada tahun 1942, dengan mendedahkan tahanan perang dan kadangkala orang awam kepada penyakit berbahaya seperti wabak dan antraks.
Ini termasuk strok dan serangan jantung yang dirangsang, pengguguran secara paksa dan sebagainya. Beribu-ribu orang mati akibat perbuatannya itu. Selepas perang dunia kedua, Ishii ditangkap oleh tentera Amerika. Walaubagaimanapun, dia diberikan kekebalan sebagai pertukaran kepada pengetahuannya dalam bidang perubatan.
5. Harold Shipman
Doktor bernama Harold Shipman dari British ini dianggap sebagai salah seorang pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah. Sejak awal perkhidmatannya pada tahun 1974, lebih 200 orang telah meninggal dunia. Namun, kegiatan jenayahnya hanya berjaya dibongkarkan pada tahun 1998, ketika doktor lain menyedari terdapat kadar kematian yang tinggi di kalangan pesakitnya.
Shipman telah didakwa pada tahun 2000, untuk sejumlah 15 kematian dan pemalsuan wasiat. Dia menerima hukuman penjara seumur hidup. Pada tahun 2004, dia ditemui menggantung dirinya sendiri di dalam penjara.
4. John Bodkin Adams
Berasal dari British, John Bodkin Adams didakwa bertanggungjawab atas kematian seramai 160 pesakit, terutamanya warga emas, semasa berkhidmat sebagai doktor antara tahun 1946 dan 1956.
Perkara paling aneh tentang kes itu ialah seramai 132 mangsa meninggalkan sejumlah wang yang besar dan aset lain kepadanya sebelum mati. Wasiat itu dipercayai ditulis oleh Adams sendiri. Meskipun dihadapkan ke mahkamah beberapa kali, dia tidak pernah disabitkan kesalahan. Adams meneruskan amalan terkutuknya itu sehingga menghembuskan nafas terakhir.
3. H. H. Holmes
Dr. Henry Howard Holmes ialah antara pembunuh bersiri terawal yang pernah direkodkan dalam sejarah Amerika. Dilahirkan sebagai Herman Mudgett, Holmes merupakan lulusan dari Sekolah Perubatan Michigan. Semasa pengajiannya, dia pernah mencuri dan mencacati mayat. Tidak cukup dengan itu, dia mendakwa kematian itu berpunca dari kemalangan dan mendapat sejumlah insurans.
Kemudian, Holmes berpindah ke Chicago dan menjalankan perniagaan sebuah hotel. Hotel ini dijadikan seperti bilik seksaan di mana penghuninya kerap hilang. Dia akan menyeksa dan membunuh pelanggannya sendiri khususnya golongan wanita, di ruang bawah tanah. Dia turut pernah membuat model rangka menggunakan kepingan daging mayat. Pada tahun 1897, Holmes akhirnya ditangkap dan dihukum gantung.
2. Michael Swango
Michael Swango merupakan bekas doktor dari Amerika yang didapati bersalah membunuh tiga pesakit. Namun, hakikatnya lebih 60 kes pembunuhan dikaitkan dengannya. Swango amat tertarik dengan darah dan kematian sehingga terbawa-bawa ke dalam kerjaya perubatannya. Semasa menjalani latihan di Ohio State University, jururawat di sana mendapati pesakitnya mati secara misteri.
Setelah siasatan demi siasatan dilakukan, tiada satu pun yang membuahkan hasil biarpun setelah status pelajar Swango ditamatkan. Dia yang kemudiannya berpindah ke Illinois, pernah meracunkan rakan-rakannya di situ. Dia ditangkap dan menerima hukuman.
Setelah dibebaskan, Swango memalsukan dokumen dan bekerja di Zimbabwe sebagai seorang doktor. Dia kembali kepada tabiat lamanya sehingga mengakibatkan kematian ramai pesakit. Swango melarikan diri sebelum ditangkap pada tahun 1997 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
1. Josef Mengele
Josef Rudolf Mengele mungkin merupakan doktor yang paling kejam dalam sejarah. Digelar sebagai "malaikat maut", kekejaman doktor dari Jerman semasa perang dunia kedua ini tidak terkira dengan jari, apatah lagi untuk difahami. Setelah dikerahkan sebagai tentera sebaik tamat pengajian, dia berkhidmat di Waffen SS.
Sumber:iluminasi.com